malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
KPM: Tiada unsur sensitiviti agama, kaum dalam ceramah Firdaus Wong
Diterbitkan:  Jul 11, 2019 5:00 PM
Dikemaskini: 9:00 AM
ADS

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menjelaskan bahawa tiada sebarang unsur yang melibatkan sensitiviti agama dan kaum sepanjang sesi ceramah Firdaus Wong dalam program di sekolah di Kulim awal bulan ini.

Dalam kenyataan hari ini, KPM berkata Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lunas menjemput Firdaus sebagai penceramah motivasi untuk bercakap mengenai "sahsiah unggul murid".

"Sepanjang sesi ceramah, tiada sebarang unsur yang melibatkan sensitiviti agama dan kaum yang disentuh oleh Firdaus kerana pihak sekolah telah pun memaklumkan beliau perkara-perkara yang perlu dielakkan demi keharmonian warga sekolah, guru dan murid.

"Menjadi dasar KPM untuk pihak sekolah berhati-hati apabila mengundang penceramah dalam mana-mana program sekolah," kata kenyataan itu.

Kenyataan itu juga memaklumkan bahawa KPM sudah memanjangkan peringatan kepada semua pengetua dan guru besar mengenai kaedah pemilihan penceramah supaya tidak menimbulkan prasangka yang tidak baik atau rasa tidak senang dalam kalangan warga sekolah, guru dan murid.

Selasa lalu, Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II P Ramasamy mempersoalkan kewajaran KPM membenarkan Firdaus berceramah dalam kalangan pelajar bukan Muslim.

Ramasamy turut mempersoalkan sama ada KPM sedar tentang program tersebut yang disifatkannya sebagai "dakwah halus" yang berlaku di sekolah itu.

Ramasamy berkata demikian sebagai respons kepada kiriman tular dari Facebook Firdaus pada program 4 Julai itu, yang mana dia memaklumkan bahawa dia dan dua penceramah lain bercakap di hadapan pelajar tingkatan 1 dan 2.

Dalam kiriman Facebooknya, Firdaus, yang sering memperkenalkan diri sebagai anak murid pendakwah Dr Zakir Naik berkata pelajar dipecahkan kepada dua kumpulan - antara kumpulan pelajar Cina dan campuran kumpulan pelajar Melayu dan India.

Firdaus juga berkata bahawa tumpuan utama penceramah adalah untuk berdakwah, bukannya untuk bayaran dari ceramah yang disampaikan.

Selepas kiriman itu tular, Firdaus mengeluarkan kenyataan dengan berkata bahawa dia dan dua penceramah lain bercakap tentang perkara umum di hadapan pelajar bukan Muslim.

Firdaus berkata program itu bertajuk 'Menjadi Lelaki Cemerlang' yang turut melibatkan guru-guru Islam dan bukan Islam adalah bertujuan untuk membantu pelajar melihat dari sudut yang berbeza untuk menuju kehidupan yang cemerlang tanpa menjadi materialistik.

Lihat Komen