malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Wanita Orang Asli diberi ubat perancang kelahiran bagi elak komplikasi anemia'
Diterbitkan:  Jul 11, 2019 4:31 PM
Dikemaskini: 8:31 AM
ADS

Ubat perancang kelahiran yang didakwa diberikan kepada wanita Orang Asli bertujuan untuk mengelakkan komplikasi yang berkaitan dengan anemia, kata Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata campur tangan itu dibuat atas rasa tanggungjawab kerana penting bagi wanita yang mengalami anemia untuk mengelakkan kehamilan.

"Jadi oleh kerana itu kita mengambil tindakan ini atas rasa tanggungjawab untuk menyelamatkan mereka dan supaya mereka tidak mengalami komplikasi ketika semasa kehamilan,

"Mereka mengalami anemia ataupun kekurangan darah merah. Jadi oleh kerana itu ini adalah satu langkah intervensi - ataupun intervention - langkah berjaga-jaga yang sangat penting untuk kita lakukan demi menyelamatkan kehamilan – ataupun pregnancy.

"Itupun bukan kita buat selamanya. Selama dua tahun apabila pemberian itu berlaku, mereka akan diberhentikan dan ia dilakukan bukannya dengan sifat mala fide. Perkara ini penting untuk menyelamatkan wanita orang asli," kata Dzulkefly pada sidang akhbar hari ini, berdasarkan rakaman sidang akhbar yang diadakan di Sungkai.

Anemia adalah keadaan di mana seseorang tidak mempunyai cukup sel darah merah yang sihat untuk membawa oksigen yang mencukupi ke tisu badan.

Ditanya mengenai kesan sampingan ubat perancang kelahiran berkenaan, Dzulkefly sekadar berkata, "Saya rasa itu bukan isunya," sebelum menerangkan bahawa langkah itu bertujuan untuk mengelakkan komplikasi berkaitan anemia semasa kehamilan.

Dzulkefly tidak menjawab tuduhan yang mengatakan wanita Orang Asli telah dipaksa untuk mengambil ubat, dan tidak diberi penjelasan yang mencukupi mengenainya.

Dzulkefly juga menyebutkan bahawa kejadian anemia dalam kalangan wanita adalah 27 peratus, tetapi tidak jelas sama ada dia merujuk secara khusus kepada wanita Orang Asli atau sebaliknya.

Menurut Organisasi Kesihatan Dunia (WHO), anemia memberi kesan kepada 24.8 peratus daripada populasi global.

Kekerapan anemia dalam kalangan wanita hamil dan wanita bukan hamil masing-masing adalah 41.8 peratus dan 30.2 peratus.

Pada Selasa lalu, wakil dari lima perkampungan Orang Asli menyerahkan memorandum kepada kerajaan mendakwa bahawa antara lain, wanita Orang Asli diberikan pil perancang kelahiran tanpa penjelasan yang mencukupi.

Mereka telah menuntut kerajaan untuk menghentikan amalan itu.

Seorang aktivis Orang Asli, Nora Kantin, juga mendakwa bahawa kakitangan Kementerian Kesihatan mengancam untuk merampas kad perubatan wanita itu jika mereka enggan mengambil ubat tersebut.

"Pendatang baru dalam kalangan masyarakat amat disasarkan dan terpaksa mengambil suntikan selepas hanya satu anak.

"Suntikan ini membahayakan kesihatan kita, ramai wanita yang menjadi kembung, mulai dari kurus menjadi berat badan dengan cepat, kita semua berasa lemah selepas suntikan," katanya kepada Malaysiakini semalam.

Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (Jakoa) berkata mereka akan menyiasat dakwaan tersebut.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waythamoorthy berkata beliau terkejut dengan tuduhan itu dan akan menubuhkan sebuah panel untuk menyiasat perkara itu, selain berjanji membincangkan perkara itu dengan Dzulkefly.

Lihat Komen