Pengiklanan

    Permohonan Wan Ji tangguh hukuman penjara didengar esok

    (Dikemaskini )

    Mahkamah Tinggi Shah Alam akan mendengar permohonan pendakwah Wan Ji Wan Hussin untuk menangguhkan sabitan hukuman penjara pada jam 9 pagi esok.

    Wan Ji merupakan bekas penasihat agama kepada Menteri Kewangan Lim Guan Eng dan bekas ketua biro agama Pemuda PKR (AMK).

    Terdahulu, hukuman penjara sembilan bulan terhadap Wan Ji yang dijatuhkan pada 2014 telah ditambah menjadi setahun oleh mahkamah tinggi pada Selasa lalu.

    Bagaimanapun, Hakim Mahkamah Tinggi Abdul Halim Aman memeerintahkan Wan Ji menjalankan hukumannya di Penjara Kajang serta-merta walaupun peguam Radzlan Jalaluddin membuat permohonan lisan untuk menangguhkan sabitan hukuman sehinggalah selesai rayuan terhadap keputusan itu.

    Abdul Halim mengarahkan pasukan pembelaan untuk memfailkan permohonan rasmi bagi tujuan penangguhan hukuman itu.

    Keputusan mahkamah pada Selasa lalu susulan rayuan yang dibuat pendakwaan terhadap keputusan yang dibuat di peringkat mahkamah yang lebih rendah selepas Wan Ji didapati bersalah menghina Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada hantaran Facebook di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan.

    Pertuduhan tersebut memperuntukkan hukuman penjara maksimum sehingga tiga tahun dan denda maksimum RM5,000.

    Hukuman penjara setahun itu dikritik banyak pihak, termasuklah Presiden PKR ANwar Ibrahim yang berkata ia terlalu keras dan tidak konsisten dengan reformasi demokratik.

    Ini memandangkan PH sebelum mengambil alih kerajaan berjanji untuk memansuhkan Akta Hasutan.

    Sementara itu, Perdana Menteri Dr Mahatir Mohamad mengumumkan kerajaan akan memansuhkan AKta Hasutan 1948 sebelum menggantikannya dengan undang-undang baru.

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih