malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
PH digesa berhenti beri 'alasan lapuk' kekalkan Akta Hasutan
Diterbitkan:  Jul 10, 2019 3:31 PM
Dikemaskini: 7:32 AM
ADS

Bekas presiden Persatuan Peguam Malaysia, Ambiga Sreenevasan mengkritik keputusan Mahkamah Tinggi di Shah Alam yang menambah tempoh hukuman penjara pendakwah Wan Ji Wan Hussin di bawah Akta Hasutan.

Dalam kenyataan di Twitter hari ini, Ambiga menyifatkan hukuman itu sebagai memalukan dan menuntut pemansuhan Akta Hasutan.

Ambiga menggesa kerajaan Pakatan Harapan untuk menunaikan janji memansuhkan Akta Hasutan dan tidak memberikan alasan untuk mengekalkan undang-undang yang telah dibuat lebih daripada tujuh dekad lalu itu.

"Akta Hasutan mesti dimansuhkan. Selagi wujud, ia akan digunakan dan disalahgunakan.

"Ini salah satu janji PH yang tidak boleh dimungkiri. Berhenti memberi alasan lapuk untuk mengekalkannya. Hukuman ini sangat memalukan, " katanya.

Semalam, Wan Ji mula menjalani hukuman penjara selepas mahkamah menolak rayuannya terhadap sabitan dan hukuman penjara kerana menghasut terhadap Sultan Selangor tujuh tahun lalu.

Mahkamah turut menambah hukuman penjara terhadap Wan Ji, dari sembilan bulan kepada setahun setelah memberi pertimbangan terhadap rayuan silang pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Asnawi Abu Hanipah

Namun, beberapa pihak dan badan hak asasi mengkritik hukaman itu, dengan Suaram menggesa Peguam Negara Tommy Thomas memberi penjelasan.

Peguam Syahredzan Johan pula mempersoalkan tindakan pihak pendakwaan yang membuat rayuan bagi hukuman lebih berat dalam kes mahkamah melibatkan Wan Ji.

Pada 5 Julai lalu, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad memberitahu Dewan Rakyat bahawa kerajaan hanya akan menggunakan Akta Hasutan dalam kes yang berat.

[Baca berita asal]

Lihat Komen