malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Lantik Najib ketua penasihat BN langkah ke belakang, kata Nazri
ADS

Keputusan BN untuk melantik bekas perdana menteri Najib Razak sebagai pengerusi lembaga penasihat gabungan itu sebagai langkah ke belakang, kata bekas setiausaha agung BN Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Nazri yang sebelum ini dikenali sebagai pemimpin yang kuat mempertahankan Najib menyifatkan perkembangan tersebut tidak baik buat Umno.

"Saya rasa ia regresif," katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen hari ini.

"Kita (BN) kalah bawah siapa? Apa jenis nasihat yang beliau boleh berikan?" soalnya lagi sambil membangkitkan Najib sudah didakwa di mahkamah dan kini berdepan dengan perbicaraan.

Semalam, Najib dilantik sebagai pengerusi Lembaga Penasihat BN.

Pelantikan itu dibuat kurang dari dua minggu selepas Ahmad Zahid Hamidi kembali menjalankan tugas sebagai presiden Umno dan pengerusi BN.

Najib kini berdepan 42 tuduhan pengubahan wang haram, salah guna kuasa dan pecah amanah manakala Zahid menghadapi 87 pertuduhan yang berkaitan dengan rasuah.

Sementara itu, Nazri mencadangkan Malaysia Airlines Bhd menukar nama kerana menurutnya nama sedia ada dikaitkan dengan negativiti termasuklah peristiwa pesawat ditembak jatuh dan kapal terbang hilang.

"Nama itu (syarikat penerbangan) dikekalkan kerana niat baik, tetapi dengan satu kapal terbang hilang dan satu lagi ditembak jatuh, lebih baik tukar namanya," kata Nazri mengulas usaha kerajaan untuk menyelamatkan syarikat penerbangan kebangsaan itu.

"Apa-apa yang anda lakukan sekarang akan menjadi baik kerana MAS telah begitu teruk dan tidak boleh jadi lebih teruk lagi. Jadi ia akan bangkit semula, lakukan apa sahaja yang diperlukan," katanya.

Terdahulu Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata MAS sedang bekerjasama dengan pemiliknya Khazanah Nasional Bhd untuk merumuskan satu strategi ke hadapan.

Beliau berkata semua pilihan ada di atas meja, termasuk kemungkinan MAS diambil alih dan membuang perkataan 'Malaysia' dari namanya.

Syarikat penerbangan itu merekodkan kerugian sebelum kehilangan Penerbangan MH370 dan penerbangan MH17 yang ditembak jatuh.

Pada 2014, syarikat penerbangan itu melancarkan pelan pemulihan lima tahun untuk memulihkan syarikat agar kembali meraih keuntungan menjelang 2018.

Lihat Komen