malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Hak asasi: Jelaskan pada rakyat sebelum laksana, kata Anwar
ADS

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) perlu menambah baik penjelasan berkenaan reformasi hak asasi manusia kepada rakyat sebelum melaksanakannya, kata Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Dalam sesi soal jawab sebuah rancangan bual bicara di televisyen semalam, beliau berkata rakyat tidak boleh dianggap sudah faham akan niat kerajaan tanpa penjelasan yang secukupnya berkenaan perkara itu.

Beliau memberi contoh Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd) dan Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa yang diteruskan kerana salah faham.

"Berapa ramai di Malaysia yang faham Icerd? Tiada usaha untuk menjelaskan.

"Ada reaksi kuat kerana orang Melayu merasakan ia cubaan untuk membuang sebarang dasar pro-Melayu, termasuk mempertahan hak orang miskin.

"Ia bukan begitu tetapi itulah tanggapannya," kata Anwar dalam program bersama pengacara Astro Awani Sharaad Kuttan dalam acara anjuran World Movement of Democracy di Kuala Lumpur.

Kerajaan membatalkan rancangan menandatangani Icerd dan menarik diri daripada Statut Rom susulan bantahan antaranya oleh Umno dan PAS.

Jelaskan dulu

Selain pendidikan awam yang secukupnya, Anwar yang juga anggota parlimen Port Dickson berkata PH sepatutnya membawa dua perkara itu ke jawatankuasa pilihan parlimen dwipartisan untuk dibahaskan sebelum menandatanganinya.

Beliau menyatakan harapannya agar kerajaan menjadikannya sebagai pengajaran dan melibatkan lebih ramai pihak dalam rancangan di masa depan.

"Kita fikir kita ada mandat dan rakyat sokong kita. Rakyat sokong kita untuk perubahan, ekonomi dan tadbir urus yang baik, dan antirasuah.

"Mereka tidak semestinya sokong kita dalam setiap agenda hak asasi manusia. Jika kita benar-benar percaya dan yakin (tentang agenda tersebut), kita perlu sebarkan (maklumat tentangnya).

"Jika anda menjangka semua orang faham sebelum sebarkan (maklumat), anda akan gagal," katanya lagi.

Keadaan PH stabil

Ditanya berkenaan kestabilan PH, Anwar berkata beliau percaya gabungan itu kuat, berkesan dan disatukan oleh prinsip teras, walaupun ada "keterbatasan".

Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan keterbatasan yang dimaksudkannya.

Beliau juga memuji kepimpinan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sepanjang mengetuai kerajaan PH.

Walaupun ada kerisauan bahawa PH berkompromi dalam soal reformasi dan tunduk dengan desakan golongan sayap kanan, Anwar berkata beliau yakin reformasi akan dibuat, tetapi kerajaan perlu meredakan kerisauan rakyat yang mungkin timbul daripada perkara itu.

Lihat Komen