malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Pemuda PH mobilisasi solidariti buat Wan Ji
Diterbitkan:  Jul 9, 2019 9:00 PM
Dikemaskini: 1:00 PM
ADS

Pemuda PH menyatakan solidariti buat pendakwa Wan Ji Wan Husin yang dihukum penjara di bawah Akta Hasutan selama setahun bermula hari ini.

Bagi tujuan itu, pengarah mobilisasinya, Shazni Munir Mohd Ithnin berkata pihaknya akan menggerakkan mobilisasi di setiap peringkat.

Ia termasuklah dalam memberikan sokongan moral kepada Wan Ji dan keluarganya dalam program di hadapan Penjara Kajang yang diadakan malam ini.

Selain itu, kata Shazni, pihaknya juga menggesa agar Parlimen Malaysia segera memansuhkan Akta Hasutan serta akta-akta "drakonian" lainnya selari dengan manifesto pilihan raya PH.

"Justeru, seluruh seluruh aktivis masyarakat, kepimpinan negara dan politik serta rakyat amnya diseru hadir bersolidariti malam ini.

"Serta lebih penting, menyokong usaha berterusan dalam menuntut pemansuhan akta berkenaan," katanya.

Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini yang menolak rayuan Wan Ji terhadap sabitan dan hukuman penjara kerana menghasut terhadap Sultan Selangor tujuh tahun lalu.

Mahkamah turut menambah hukuman penjara terhadap Wan Ji, dari sembilan bulan kepada setahun setelah memberi pertimbangan terhadap rayuan silang pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Asnawi Abu Hanipah.

Wan Ji mula menjalani hukuman di Penjara Kajang hari ini.

Mansuh Akta Hasutan

Dalam perkembangan sama, Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) melahirkan rasa terkejut dengan sabitan dan hukuman penjara setahun yang dikenakan ke atas Wan Ji di bawah Akta Hasutan.

Timbalan ketuanya, Faiz Fadzil mempersoalkan tindakan pendakwaan yang merayu untuk hukuman yang lebih berat ke atas Wan Ji dan menyifatkan ia tidak konsisten dengan hasrat kerajaan Pakatan Harapan untuk memansuhkan undang-undang itu.

"Pemuda Amanah juga berharap hukuman penjara ini dapat digantung secepat mungkin kerana Wan Ji mempunyai satu lagi peluang merayu ke Mahkamah Rayuan supaya peluang beliau untuk mendapatkan keadilan tidak sia-sia dengan pelaksanaan hukuman ini.

"Justeru, Pemuda Amanah menggesa kerajaan untuk segera memansuhkan Akta Hasutan ini yang telah lama diperjuangkan secara konsisten oleh parti-parti komponen Pakatan Harapan dan menjadi salah satu manifesto Pakatan Harapan.

"Pemansuhan ini penting supaya Malaysia bersih yang mahu dibina hari ini benar-benar dilihat mengangkat agenda kebebasan dan hak asasi yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Faiz turut menyifatkan Wan Ji sebagai seorang pejuang yang bersama-sama rakyat menjatuhkan BN.

"Pemuda Amanah bimbang kemungkinan ada pejuang atau pemimpin Pakatan Harapan lain yang boleh dihukum di bawah Akta Hasutan ini semata-mata memberikan pandangan atas sesuatu isu sepertimana yang berlaku ke atas Wan Ji.

"Apatah lagi beliau dihukum di bawah akta zalim yang mahu dimansuhkan, hukuman ini dilihat tidak adil kerana keadilan bukan sahaja perlu dilaksanakan tetapi mesti dilihat dilaksanakan," katanya.

Lihat Komen