malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Ku Nan beri Umno hingga RM300k sebulan, kata bekas setiausaha
ADS

Tengku Adnan Tengku Mansor memberikan wang pendahuluan sehingga RM300,000 sebulan, kata bekas setiausaha sulit kanannya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Mohd Rahimi Rejab memaklumkan perkara itu dalam sesi pemeriksaan balas oleh peguam Tan Hock Chuan dalam kes perbicaraan kes rasuah RM2 juta Tengku Adnan.

Menurutnya, wang berkenaan sering diberikan kepada ibu pejabat Umno, Umno Wilayah Persekutuan dan Umno bahagian Putrajaya bagi membayar gaji kakitangan dan perbelanjaan parti.

Tan: Boleh bagi anggaran sebulan?

Rahimi: Lebih kurang RM100,000 ke RM300,000 sebulan.

Tan: Betul ke saya dengar apa-apa temu janji untuk dapat duit daripada Tengku Adnan dibuat dalam 2 hingga 3 minit saja?

Rahimi: Betul. Apabila ada temu janji, akan datang ramai-ramai macam pasar ikan.

Temu janji itu, katanya, akan diadakan di Kementerian Wilayah Persekutuan, bangunan Perbadanan Putrajaya, atau di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Rahimi juga memberitahu mahkamah bahawa Tengku Adnan juga memberikan wang tunai bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar yang diadakan pada Jun 2016.

Pihak pendakwaan menuduh bahawa cek RM2 juta yang diterima Tengku Adnan daripada pemilik syarikat pemaju Aset Kayamas Sdn Bhd, adalah bagi PRK berkenaan.

Pendakwaan menuduh bahawa Tengku Adnan yang juga merupakan ahli parlimen Putrajaya pada mulanya meminta RM5 juta hingga RM6 juta daripada pemilik Aset Kayamas, Chai Kin Kong, sebelum akhirnya menerima RM2 juta berkenaan.

Ketika disoal oleh Tan, Rahimi bersetuju bahawa wang berkenaan adalah dari Tengku Adnan sendiri.

Bagaimanapun, ketika sesi pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Firdaous Mohamed Idris, Rahimi berkata dia tidak tahu sumber wang yang diberikan Tengku Adnan kepada Umno.

Ditanya bagaimana dia boleh tahu wang berkenaan diberikan, Rahimi berkata pihak yang ingin mendapatkan temu janji dengan Tengku Adnan akan memaklumkannya tentang hasrat untuk mendapatkan sumbangan.

"Bila saya tanya sama ada dia (Tengku Adnan) setuju nak jumpa mereka, bila Tengku Adnan setuju baru kita masuk dalam senarai.

"Kemudian Tengku Adnan akan maklumkan kepada saya dia akan beri advance kepada orang berkenaan," katanya.

Tengku Adnan dibicarakan atas kapasitinya ketika menjadi menteri wilayah persekutuan keranan didakwa menerima RM2 juta daripada Aset Kayamas, syarikat yang mempunyai urusan perniagaan dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Setiausaha Agung BN itu dikatakan menerima wang berkenaan melalui syarikatnya, Tadmansori Holdings Sdn Bhd.

[Baca berita asal]

Lihat Komen