malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Wan Ji masuk penjara, hakim tambah hukuman jadi setahun
Diterbitkan:  Jul 9, 2019 12:37 PM
Dikemaskini: 9:57 AM
ADS

Penceramah bebas Wan Ji Wan Hussin terpaksa meringkuk dalam penjara selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak rayuan terhadap hukuman penjara kerana menghasut terhadap Sultan Selangor, tujuh tahun lalu.

Hakim Abdul Halim Aman malah meminda hukuman dengan menambah hukuman Wan Ji dari sembilan bulan kepada setahun, setelah memberi pertimbangan terhadap rayuan silang pihak pendakwaan.

"Setelah menimbang faktor mitigasi dan keseriusan kes, mahkamah dengan ini meminda hukuman sembilan bulan yang dijatuhi oleh hakim mahkamah sesyen kepada penjara bagi tempoh satu tahun dan hukuman itu berkuatkuasa hari ini," beliau dipetik sebagai berkata oleh Sinar Harian.

Dalam ringkasan penghakimannya, Abdul Halim berkata, kata-kata Wan Ji itu terang lagi bersuluh menghasut dan menanam kebencian rakyat terhadap institusi raja-raja.

“Ini adalah satu tindakan yang melampaui batasan, kita kena ingat kepada prinsip Rukun Negara iaitu Kesetiaan Kepada Raja-raja.

"Walaupun sebagai warganegara kita diberi banyak kebebasan, namun ia ada had dan ia masih tertakluk kepada undang-undang dan normal kehidupan," katanya.

Beliau turut mengingatkan pada satu lagi prinsip Rukun Negara iaitu Kesopanan dan Kesusilaan.

“Sultan adalah payung negeri, tempat rakyat bernaung di bawahnya," beliau dipetik sebagai berkata.

Sementara itu, Wan Ji, 37, menerusi peguamnya, Mohd Radzlan Jalaludin memohon penangguhan hukuman untuk memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan.

Bagaimanapun hakim memerintah peguam memfailkan permohonan penangguhan tersebut secara rasmi.

Pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Asnawi Abu Hanipah.

Wan Ji diuduh menghina Sultan Sharafuddin Idris Shah yang membabitkan isu agama dalam akaun Facebook beliau.

Kesalahan itu dilakukannya di Pejabat Perumahan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor di Shah Alam pada 5 November 2012.

Wan Ji ialah anggota PKR dan bekas penasihat agama kepada ketua menteri Pulau Pinang sebelum ini Lim Guan Eng.

Beliau banyak terlibat dalam dialog berkaitan isu politik melibatkan agama dan bergiat dalam Saudara - sebuah platform soal jawab dengan masyarakat bukan Islam.

Lihat Komen