malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Pelawaan sertai Bersatu: Saya tunggu, lihat pendirian PKR, DAP, kata Hisham
ADS

Ahli Parlimen Sembrong Hishammuddin Hussein mengingatkan semua pihak supaya jangan sombong dengan pelawaan Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad agar semua parti Melayu menyertai Bersatu.

Sambil mencadangkan mereka mempertimbangkan pelawaan perdana menteri, Hishamuddin walau bagaimanapun, berkata ini perlu mengambil kira pandangan daripada parti lain termasuk dalam Pakatan Harapan sendiri.

"Saya akan tunggu dan lihat apa pendirian PKR dan DAP.

"Saya ingatkan semua pihak (yang) dikaitkan dengan perpaduan umat Melayu, jangan takbur, jangan angkuh, jangan sombong kerana orang tengah perhati termasuk pihak menawarkan kerjasama dalam nak bincang kesatuan ummah yang penting (untuk) masyarakat Melayu.

"Apa pula penyatuan kaum lain dalam nak hala tuju masa depan kena ambil semua sentimen inilah yang saya tekankan berapa kali sebelum ini, yang penting sekarang boleh bantu politik," kata bekas naib presiden Umno itu kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pelawaan Mahathir yang mencadangkan semua parti politik Melayu termasuk Umno menyertai Bersatu dalam usaha menyatu padu serta memperkasakan kuasa politik orang Melayu.

Pada 5 Julai lalu, Mahathir berkata kewujudan semakin banyak parti politik Melayu menyebabkan potensi untuk mereka menang dalam pilihan raya semakin tipis.

Hishamuddin menambah, sebarang keputusan yang dilakukan sewajarnya dibuat demi kepentingan rakyat serta negara dan bukan politkk semata-mata.

"Saya mahu dengar pendirian parti lain dalam Pakatan Harapan (PH) juga, lepas tu (baru) keputusan Umno.

"Itu kena tanya tuan badan, bukan saya untuk tentukannya, biar parti yang putuskan dalam menentukan pendirian.

"Jangan kita angkuh dan takbur tak ada orang ada hak cakap macam itu terutamanya mengenai isu penyatupaduan sebab orang ramai melihat ahli politik itu kalau betul bersatu biar bersatu dengan ikhlas supaya rakyat dapat lihat," katanya.

Lihat Komen