Pengiklanan

    Nisan tanda bantahan aktivis isu alam sekitar

    (Dikemaskini )

    Suatu perarakan ringkas dari Masjid Jamek ke Dataran Merdeka menuntut kerajaan melaksanakan reformasi polisi bagi menangani masalah perubahan iklim berakhir apabila peserta 'merebahkan diri' ke atas tanah sebagai lambang 'bumi yang sedang musnah.'

    Anggota Klima Action Malaysia (Kamy) Reza Abedi pada himpunan di ibu negara hari ini bercakap mengenai kesan perubahan iklim dan punca utamanya.

    "Satu pertiga tanah di bumi ini telah merosot kesuburannya.

    "Punca kemerosotan kesuburan tanah termasuklah teknik perladangan yang bergelumang dengan kimia, penebangan hutan yang meningkatkan hakisan tanah dan pemanasan bumi," kata Reza.

    Pada himpunan yang diwarnai pelbagai ungkapan kreatif ini, terdapat seorang peserta yang memakai glob bumi di kepalanya dengan simbahan cat merah simbol darah sebagai lambang planet yang tercemar.

    Seorang lagi ahli Kamy, Wong Chang Fu berkata kehadiran hari ini memberikan harapan supaya lebih ramai lagi orang akan sedar isu-isu berkaitan perubahan iklim.

    Bantahan hari ini juga menyaksikan peserta membawa replika nisan bagi meratapi tragedi kematian masyarakat Orang Asli di Kuala Koh dan kejadian pencemaran udara di Pasir Gudang.

    Terdapat juga replika nisan tanda hormat kepada Tam, badak sumbu jantan Sumatra terakhir di Malaysia yang mati pada 27 Mei lalu di Pusat Perlindungan Badak Sumbu Borneo di Taman Hidupan Liar Tabin di Lahad Datu.

    Pihak polis memantau perhimpunan hari ini yang turut disertai oleh Persatuan Pelindung Khazanah Alam (Peka) dan Parti Sosialis Malaysia.

    Ketika ditemui selepas himpunan berkenaan, Naib Presiden Peka Sophine Tann berkata pihaknya sedang mendesak 222 anggota parlimen untuk melakukan reformasi undang-undang berkaitan alam sekitar, termasuklah beberapa peruntukan dalam Akta Perhutanan Negara 1984.

    "Sebahagian daripada pindaan adalah kami mahu hak warga Malaysia terhadap hutan (dipelihara)," kata Tan.

    Katanya, butiran terperinci cadangan pindaan akan didedahkan apabila bertemu para MP di parlimen esok.

    Kerjasama atau hilang segala-galanya

    Menurut Tan, Peka akan berada di bangunan parlimen setiap hari bermula esok sehinggalah 17 Julai ini sebelum melakukan perarakan dari Padang Merbok pada 18 Julai akan datang yang merupakan hari terakhir sidang Dewan Rakyat.

    Selain menukar undang-undang persekutuan, Tann berkata memorandum kepada anggota parlimen itu juga mendesak penubuhan suatu panel yang disertai para pemegang taruh, termasuklah NGO, pegawai kerajaan dan sektor korporat.

    "Semua pihak yang berkaitan dengan urusan tanah patut berada dalam panel tersebut.

    "Sekarang ini Jabatan Perhutanan berkuasa meluluskan (kegunaan tanah hutan) tetapi pihak Perhilitan (Jabatan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia) tidak terlibat," katanya.

    Jelasnya lagi, sebarang kegiatan di hutan akan memberi kesan terhadap habitat hidupan liar.

    "Kita mesti bekerja bersama-sama. Jika tidak, kita akan hilang segala-galanya," tegasnya.

    [Baca berita penuh]

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih