malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Haziq rayu keputusan pemecatan
Diterbitkan:  Jul 7, 2019 8:39 AM
Dikemaskini: 12:59 AM
ADS

Mendakwa dirinya "dihukum" kerana mengaitkan Azmin Ali dengan rasuah, bekas setiausaha sulit kanan ketua penerangan timbalan menteri dari PKR, Haziq Abdullah Abdul Aziz berkata, dia akan merayu pemecatan ke atasnya.

"Saya dihukum hanya kerana saya menggesa pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat tuduhan-tuduhan korupsi yang dilemparkan terhadap Azmin," katanya.

Dia yang sebelum ini dipilih sebagai ketua Pemuda PKR Santubong berkata, dia tidak membuat tuduhan melulu kepada Azmin sebaliknya hanya menggesa agar menteri hal ehwal ekonomi itu disiasat.

Kata Haziq, rakyat berhak tahu perkara sebenar.

Pada 12 Jun lalu Haziq membuat pengakuan bersumpah bahawa dia adalah lelaki yang dirakam mengadakan aksi intim dengan seorang lelaki lain di atas katil dan menjadi tular beberapa hari sebelum itu.

Kata Haziq lelaki yang bercumbu dengannya itu ialah Azmin dan berlaku dalam sebuah bilik hotel di Sandakan, Sabah pada 11 Mei lalu. 

Azmin menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut dan menganggap ia strategi pihak tertentu membunuh kerjaya politiknya, selain bersifat jahat serta kejam.


Baca Azmin minta pemimpin PKR jelaskan: Siapa bagi maklumat?


Isu itu juga semakin mendedahkan persaingan dua kumpulan bertentangan dalam PKR. Lembaga Disiplin PKR yang menyiasat isu itu kemudian mencadangkan kepada biro politik parti terbabit supaya memecat Haziq.

PKR kemudian memecat pemuda berusia 27 tahun terbabit serta-merta pada 3 Julai lalu. 

Membuat kenyataan terbuka di media sosial malam tadi, Haziq bagaimanapun berkata dia menghormati keputusan dibuat PKR.

"Saya sentiasa menghormati prosedur yang diambil parti sebelum menjatuhkan hukum, kerana saya yakin PKR adalah parti yang mengamalkan prinsip rule of law (kedaulatan undang-undang) dan fair hearing (pertimbangan yang adil)," katanya.

Bagaimanapun dia tidak menyatakan bila rayuan tersebut akan dikemukakan.

Mengikut perlembagaan PKR, seseorang anggota parti yang dipecat boleh mengemukakan rayuan bertulis dalam tempoh 14 hari selepas mendapat surat mengenainya daripada setiausaha agung.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen