malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Melayu tiada pilihan selain Bersatu, PKR dan Amanah'
ADS

Orang Melayu kini tiada pilihan selain menyertai parti-parti kerajaan seperti Amanah, Bersatu dan PKR, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr Mujahid Yusof.

Mujahid berkata ini kerana idea yang dibawa Umno dan PAS, sudah lapuk dan tidak lagi dapat membawa orang Melayu ke arah yang lebih progresif.

"Kita bukan bercakap tentang parti, tapi kita nak supaya Melayu tu dibawa kepada taraf dan tahap dalam keadaan Malaysia baru yang lebih dinamik, progresif.

"Yang parti lain (Umno dan PAS) ni tak mungkin bawa (ke tahap itu) sebab idea mereka sudah obselete (lapuk). Dah tepu dengan berbagai idea yang tak maju, dengan pelbagai isu rasuah yang berlaku.

"Maka kita tak melihat Melayu ada pilihan melainkan kepada parti yang ada: Bersatu, PKR atau Amanah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Street Raya Masjid dan Surau Jumaat Wilayah Persekutuan, di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur hari ini.

Semalam, Dr Mahathir Mohamad mempelawa semua parti politik Melayu termasuk Umno menyertai Bersatu dalam usaha menyatupadu serta memperkasakan kuasa politik orang Melayu.

Pengerusi Bersatu itu berkata kewujudan semakin banyak parti politik Melayu menyebabkan potensi untuk mereka menang dalam pilihan raya semakin tipis.

“Kalau dahulu, cuma ada satu sahaja parti yang mewakili orang Melayu iaitu Umno tetapi kerana tamak untuk mendapatkan tempat, maka hari ini orang Melayu berpecah kepada enam (parti).

“Enam, bukan lagi majoriti 60 peratus tetapi setiap parti 10 peratus sahaja,” katanya ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Bersatu Johor di Dewan Serbaguna Johor Jaya, di Johor Bahru.

Dalam perkembangan lain, Mujahid ditanya pemberita tentang lawatannya ke Xinjiang, China baru-baru ini.

Beliau disoal sama ada berlaku layanan tidak adil dan penahanan beramai-ramai, terhadap golongan minoriti terutamanya komuniti Uyghur.

Bagaimanapun, Mujahid enggan memberikan komen terhadap soalan tersebut: 

“Saya tak ada komen. Terima kasih” jawabnya ringkas.

Isnin lalu, Mujahid menafikan laporan portal FMT yang memetiknya mengulas isu berita palsu berkaitan umat Islam Xinjiang, China.

Ini susulan FMT melaporkan Mujahid menyifatkan berita mengenai penindasan umat Islam di China sebagai "berita palsu". 

“Dalam teks ucapan YB menteri, tiada perkataan Xinjiang mahupun etnik Uyghuryang disebut.

“Perkataan 'false news' digunakan bagi memberi gambaran bahawa berita palsu mampu menjejaskan hubungan antara negara dan masyarakat,” kata kenyataan dikeluarkan pejabat Mujahid.



Lihat Komen