malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Latheefa: Saya lebih aktif sebagai aktivis berbanding ahli politik
Diterbitkan:  Jul 5, 2019 5:57 PM
Dikemaskini: 9:58 AM
ADS

Sebulan selepas pelantikannya, bekas pemimpin PKR Latheefa Koya menjawab kritikan terhadapnya kerana menerima jawatan ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Dalam wawancara bersama stesen radio suruhanjaya itu MACCfm, beliau berkata sudah menjangkakan reaksi positif dan negatif terhadap pelantikannya - termasuk kerana perkaitan politiknya.

Beliau berkata tidak menyalahkan pihak yang membangkitkan perkara itu, tetapi berharap orang ramai turut memahami sejauh mana penglibatannya dalam aktivisme dan politik.

"Bukan persepsi bahawa saya ahli politik, ia adalah fakta, saya bekas ahli politik.

"Tetapi ia perlu difahami mengikut konteks. Lebih setahun saya aktif sebagai pengarah Lawyers for Liberty (LFL) dan peguam hak asasi manusia berbanding sebagai ahli politik.

"Saya tak ambil bahagian dalam pemilihan (parti) atau pilihan raya umum. Walau jadi anggota parti lebih 15 tahun, saya tak pernah ambil bahagian secara aktif sebagai ahli politik," katanya.

Beliau menjawab soalan berkenaan kritikan keras yang diterimanya kerana penglibatannya dalam PKR, dan sama ada ia akan menjejaskan kewibawaannya untuk mengetuai SPRM.

Selain sudah tidak aktif secara langsung dalam politik, kata Latheefa lagi, beliau terus keluar daripada PKR secara rasmi sebaik mengetahui akan dilantik ke jawatan itu.

"Isu ini tak akan gugat kredibiliti saya kerana akhirnya rakyat yang menentukan sama ada saya dapat melakukan tugas ini," katanya lagi.

Bukan keputusan mudah

Latheefa berkata beliau sendiri terkejut apabila dimaklumkan tentang tawaran daripada kerajaan persekutuan.

"(Ketika itu) Saya perlukan masa untuk fikirkannya. Ia bukan satu perkara yang mudah dan tanpa tempoh masa yang panjang (untuk buat pertimbangan).

"Akhirnya saya rasa tiada pilihan selain setuju (memikul) satu tanggungjawab yang diberikan kepada saya," katanya lagi.

Pada 4 Jun lalu, Pejabat Perdana Menteri mengumumkan pelantikan Latheefa untuk menggantikan Mohd Shukri Abdull yang memendekkan kontraknya.

Pelantikan berkuatkuasa 1 Jun untuk tempoh dua tahun.

Susulan itu, kerajaan dan Latheefa dihujani kritikan, termasuk Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang dikatakan membuat keputusan tanpa melalui Jawatankuasa Pemilihan Parlimen dalam Pelantikan Awam Utama.

Lihat Komen