Presiden PAS, Abdul Hadi Awang menyifatkan isytihar harta sebagai konsep ataupun idea komunis dan sosialis.
Beliau berkata, dalam konteks negara ini, cadangan untuk mengisytiharkan harta dibayangi oleh pengaruh DAP dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH).
"Isytihar harta secara umumnya teori komunis dan sosialis. Mungkin dibayangi DAP yang mempengaruhi kerajaan kita hari ini.
"Sosialis ini dia kononnya hendak menghadkan kekayaan, ternyata negara-negara sosialis yang bertukar liberal, pemimpin sosialis itu paling kaya sekali," katanya ketika sidang media di Rusila, Marang, hari ini.
Isnin lalu, PAS dilaporkan berpendapat bahawa pengisytiharan harta akan menjejaskan keselamatan harta dan individu tersebut, di samping akan menimbulkan rasa dengki terhadap pihak lain.
Perkara itu disuarakan Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata demikian sebagai merujuk usul yang akan dibentangkan kerajaan di parlimen.
“Ia melibatkan isteri, anak-anak.. kalau kita lihat dalam Islam, hadis nabi sebut, Tuhan bagi kamu harta, jangan kamu heboh kepada orang ramai kerana dengki orang ramai.
“Soal keselamatan bila kita isytihar, keselamatan harta dan invididu perlu diambil kira,” katanya kepada pemberita di lobi parlimen.
Pada hari yang sama Dewan Rakyat sebulat suara meluluskan usul mewajibkan semua anggota Parlimen, termasuk pembangkang mengisytiharkan harta masing-masing.
Usul dikemukakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong dan disokong Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar, diluluskan selepas dibahaskan 26 Ahli Parlimen.
Mengulas konsep isytihar harta menurut perspektif Islam, Abdul Hadi berkata ia tidak bersifat mutlak sebaliknya bergantung kepada situasi.
Jika seseorang itu memiliki harta dan berisiko untuk mengelak daripada membayar cukai misalnya, ia adalah wajib bagi individu berkenaan untuk mengisytiharkan harta.
"Dalam Islam ikut realiti, isytihar harta ada masa wajib, ada masa haram, ada masa sunat.
"Kalau isytihar harta pada individu yang boleh menyebabkan berlaku rasuah, penyelewengan percukaian, itu wajib bagi orang macam ini.
"Ada orang hendak berbangga dengan harta dia, nak bermegah dengan isytihar harta, itu haram," jelas Abdul Hadi.
Katanya lagi, jika seseorang itu sudah diketahui tidak memiliki harta, tiada keperluan untuk berbuat demikian.