malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
story-image
story-image
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Demo kecil tolak semburit di Putrajaya hari ini
ADS

Satu demonstrasi diadakan di hadapan Masjid Putra, Purajaya hari ini bagi mendesak Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali meletakkan jawatan ekoran tersebarnya video yang didakwa memaparkan dirinya melakukan hubungan sejenis.

Ketika mula berlangsung, demonstrasi itu dihadiri tidak lebih daripada 20 orang peserta, dengan kebanyakannya mengenakan topeng muka.

Mereka berhimpun di bulatan masjid sambil memegang beberapa plakad, antaranya “We Love Tun Mahathir", "Jangan bebankan Tun Mahathir dengan kes semburit", "Azmin sila letak jawatan” dan “Kami rakyat Malaysia malu ada menteri kaki semburit”.

Bagaimanapun, kumpulan itu kelihatan serba salah dan seperti tidak tahu hendak berbuat apa apabila masing-masing hanya berdiam diri.

Hanya setelah berdiri selama kira-kira sepuluh minit, barulah ada seorang daripada mereka mengetuai rombongan tersebut untuk menjeritkan slogan “tolak semburit!” beberapa kali.

Sebelum setiap kali laungan, terdengar suara seorang peserta yang mengira kiu “satu, dua, tiga”.

Ketika didekati pemberita, tidak ada seorang pun daripada mereka yang mengakui merupakan ketua untuk rombongan tersebut.

Seperti yang tersebar di media sosial, demonstrasi itu sepatutnya dianjurkan oleh kumpulan yang menamakan diri mereka Anak Muda Tolak Semburit dan Bersih 0.7.

Bagaimanapun, anehnya, ketika beberapa pendemostrasi disoal pemberita, mereka tidak tahu nama NGO yang menganjurkan demostrasi tersebut.

“NGO? Tak pasti nama NGO. Saya ikut kawan-kawan. Tahu dari media sosial, dari Whatsapp,” kata seorang demonstran.

Ketika disoal berkenaan beberapa demostran yang menggunakan baju Bersih berwarna kuning untuk menutup muka, salah seorang menjawab “dia orang (mereka) bagi”.

Demonstrasi itu bertujuan mendesak Azmin agar meletakkan jawatan susulan dikaitkan dengan video seks itu yang tular awal bulan lalu.

Haziq Abdullah Abdul Aziz, yang mengaku sebagai individu yang dirakam serta mengaitkan nama Azmin, telah dipecat daripada PKR dan setiausaha sulit kanan kepada timbalan menteri industri utama.

Azmin menafikan dakwaan itu dan menyifatkannya sebagai plot untuk merosakkan kerjaya politiknya.

'Khatib kata jangan fitnah'

Ketika demonstrasi berlangsung penasihat Azmin, Khalid Jaafar yang baru keluar dari masjid mendekati dan berdepan dengan kumpulan tersebut.

“Kamu dengar khatib kata apa? Kamu pergi tak sembahyang (Jumaat) tadi? Kamu tak pergi. Khatib kata jangan fitnah. Ini fitnah,” tempelaknya.

“Saya pegang (plakad), saya tak cakap,” balas salah seorang demonstran.

Khalid juga menyindir kumpulan itu sebagai penakut kerana kebanyakannya memakai topeng yang menutup muka mereka.

“Bukalah muka terang-terang, bagi orang tengok siapa kamu siapa... Kamu tak berani, muka pun tak berani buka.

“Saya ni biasa demo. Ini semua penakut,” katanya lagi sebelum beredar.

Selepas itu mereka kembali melaungkan "tolak semburit", kali ini disertai beberapa orang yang lain, sebelum bersurai pada pukul 2.30 petang.

Turut kelihatan di sekitar masjid selepas demonstrasi tamat ialah anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno Lokman Noor Adam.

“Saya menyokong penuh mereka yang membuat demostrasi itu, saya datang nak memantau, melihat. Kalau tak cukup besar, lain kali kita akan hantar orang pula,” katanya.

Beliau berkata tidak kenal pihak penganjur tetapi mengenali "satu dua muka" peserta.

Lokman juga mempersoalkan pihak berkuasa yang menurutnya belum mengambil tindakan terhadap Haziq walaupun laporan polis telah dibuat kira-kira sebulan.

Lihat Komen