malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Hassan mahu kerajaan beri sumbangan pada mangsa Sg Kim Kim
ADS

Anggota Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim bercadang mengadakan perbincangan dengan kerajaan Johor berhubung bantuan yang boleh diberikan kepada mangsa pencemaran Sungai Kim Kim pada Mac lepas.

Hassan berkata bantuan seperti pemberian sumbangan atau wang ihsan perlu bagi megurangkan beban yang ditanggung mangsa dan keluarga.

Mengambil contoh kesengsaraan yang dihadapi Irfan Wafiy Idham Wazir, 12, yang disahkan positif menghidap Myokymia - dipercayai setelah terdedah kepada toksik Sungai Kim-Kim - Hassan berkata ia satu perkara yang serius.

“Sebagai bapa (Irfan), dia dah tak boleh nak tahan dan terpaksa meluahkan rasa tidak puas hatinya dengan membawa kes ini ke mahkmah dan dia berhak.

“Dan saya pula sebagai anggota parlimen susah nak lawan kerajaan sendiri, tapi apa pun saya akan duduk (berbincang) dengan pihak kerajaan negeri kerana ini kes anak buah saya.

"Saya akan memperjuangkannya, kasihan dia dan keluarganya, bayangkan kalau anak kita begitu,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Hassan yang Pengerusi PKR Johor berkata kerajaan negeri dan kementerian berkaitan wajar memikirkan mengenai wang ihsan kerana ia membabitkan rakyat yang menderita di kawasan tersebut.

“Saya tegaskan kepada menteri, mereka boleh menggunakan akta tertentu untuk menutup kilang-kilang di situ dan kini langkah berkenaan sudah dimulakan. Saya tahu kerana saya seorang peguam, kerajaan ada kuasa," katanya.

Ketika ditanya sama ada pencemaran itu boleh menjejaskan kedudukannya sebagai wakil rakyat, Hassan berkata, segala tindakan diambilnya selama ini adalah untuk rakyat.

Justeru, Hassan berkata, beliau tidak peduli sama ada pandangannya disenangi atau tidak dalam kalangan kerajaan.

“Saya tidak peduli, demi rakyat biarlah saya dari parti kerajaan melawan kerajaan.

"Saya tak kisah jika tidak dicalonkan lagi selepas ini kerana pendirian saya," katanya.

Lihat Komen