malaysiakini logo
story-image
ADS

Bekas presiden Umno, Najib Razak, berkata parti itu memerlukan pemimpin berpengalaman dan berwibawa untuk mengukuhkan semula pertubuhan berkenaan.

Oleh sebab itu, kata Najib, Dr Ahmad Zahid Hamidi diyakini dapat mencapai matlamat tersebut selain memberikan kepemimpinan yang diperlukan bagi memantapkan Umno.

"Jadi saya sokong Zahid kembali sebagai presiden parti,” katanya kepada media di lobi parlimen hari ini.

Najib yang juga bekas perdana menteri ditanya mengenai komen Presiden PKR Anwar Ibrahim yang menyifatkan keputusan Ahmad Zahid menamatkan cutinya sebagai presiden menunjukkan Umno belum mantap di bawah kepemimpinan Mohamad Hasan.

Malam tadi Anwar berkata: "Saya bukan ahli Umno, sudah lama. Itu (Zahid kembali aktif memimpin Umno) keputusan dalaman Umno. Saya rasa keputusan itu menunjukkan Umno belum mantap."

Zahid mengambil keputusan bercuti daripada tugasnya sebagai presiden Umno pada akhir tahun lalu selepas mendapat tekanan luar dan dalam parti ekoran pendakwaan kes rasuah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram di mahkamah.

Asalnya Ahmad Zahid berdepan 47 pertuduhan.

Bagaimanapun pada 27 Jun lalu beliau didakwa dengan 33 tuduhan lain membabitkan rasuah bernilai RM42.7 juta. Ahmad Zahid mengaku tidak bersalah atas semua dakwaan yang dikenakan terhadapnya.

Tiga hari kemudian Ahmad Zahid mengumumkan bahawa beliau menamatkan percutiannya dan kembali menyambung tugas sebagai presiden Umno.

Kata Najib, beliau memang yakin dengan kemampuan Ahmad Zahid.

“Umno memerlukan pemimpin yang mempunyai pengalaman dan mempunyai kewibaan.

"Zahid dari segi kemampuannya boleh kukuhkan Umno dan boleh memberi kepimpinan diperlukan untuk Umno terus mantap," katanya.

Lihat Komen