Pengiklanan

    1MDB beri kesan pertimbangan k'jaan terima pelaburan asing

    (Dikemaskini )

    Skandal 1MDB dilihat masih memberi kesan kepada kerajaan dalam mempertimbangkan untuk menerima pelaburan asing baru.

    Bercakap pada sidang akhbar di Kuala Lumpur hari ini, Menteri Pembangunan Keusahawanan Mohd Redzuan Yusof berkata negara-negara seperti Bahrain, Rusia dan lain-lain yang beliau enggan namakan berminat untuk melabur di Malaysia.

    Beliau berkata ia termasuk pembiayaan projek infrastruktur seperti pelabuhan atau menubuhkan dana pelaburan bersama yang boleh memberi manfaat kepada perusahaan kecil dan sederhana.

    Bagaimanapun, beliau berkata Putrajaya berhati-hati untuk mengambil wang asing dan mengakui salah satu kebimbangan adalah isu pengubahan wang.

    "Kita perlu pastikan, kita perlu dapatkan kelulusan dari Bank Negara.

    "Kita perlu memastikan mereka (dana asing) tidak terlibat dalam skim pengubahan wang," kata Redzuan tanpa menyatakan dana asing negara yang dimaksudkan.

    Kenyataan menteri itu hadir lebih setahun selepas Pakatan Harapan menyingkirkan BN dari tampuk kuasa. Kejatuhan BN antara lain sering dikaitkan dengan skandal 1MDB.

    Pihak berkuasa di Malaysia dan Amerika Syarikat percaya bahawa lebih daripada AS$4.5 bilion dalam dana 1MDB diseleweng untuk kepentingan individu seperti ahli perniagaan Jho Low dan bekas perdana menteri Najib Razak.

    Skandal ini menyorot amalan pengawalseliaan perbankan global serta pelaksanaan dana sesebuah negara di negara-negara lain yang dilihat mempunyai kerajaan yang kurang telus.

    Bagaimanapun, bagi Redzuan, mengambil langkah terlalu berhati-hati boleh merumitkan perkembangan kepada ekonomi.

    "Jika kita melihat dana pembangunan bersama yang serupa (yang ditubuhkan oleh dana kekayaan asing) sudah ada beberapa di rantau kita tetapi kita bukan sebahagian daripada mereka," katanya.

    Beliau berkata kurangnya respons daripada Bank Negara dan Khazanah Nasional kepada tawaran berpotensi ini juga menjauhkan pelabur.

    "Sebahagian daripada dana ini menjauhkan diri kerana tidak ada respons," katanya.

    Redzuan bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada Sidang Kemuncak Ekonomi Malaysia 2019 di Kuala Lumpur.

    Dalam ucapannya, Redzuan berkata kekurangan modal kewangan dan insan menjejaskan peniaga kecil dan sederhana tempatan.

    Menteri itu berkata Malaysia menduduki tempat ke-26 dalam inovasi global tetapi ke-50 dalam pembangunan keusahawanan.

    "Terdapat inovasi di negara ini [...] tetapi kita tidak mewujudkan persekitaran untuk mereka berkembang maju," katanya.

    Jelasnya, kerajaan cuba menyelesaikan masalah ini dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dijangka melancarkan Dasar Keusahawanan Kebangsaan (DNK) minggu depan.

    [Baca berita asal]

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih