malaysiakini logo
story-image
ADS

Perkhidmatan Awam hari ini mengesahkan pelantikan bekas ketua setiausaha sulit Najib Razak, Iskandar Mohd Kaus, ditarik balik.

Ketua pengarahnya Borhan Dolah berkata langkah itu diambil secara porfesioal namun selepas pihaknya “mengambil kira semua perkara yang dibangkitkan” ia kemudian dibatalkan.

Katanya jabatan itu pada awalnya beranggapan pegawai yang berkenaan sudah sedia untuk dilantik berkhidmat kepada kerajaan sekarang.

“Kita profesional. Kita mahu berkhidmat kepada kerajaan hari ini, tapi mengambil kira pandangan-pandangan itu, kita menarik balik keputusan (melantik Iskandar),” katanya.

Borhan memberitahu demikian kepada pemberita selepas menghadiri Persidangan Penjawat Awam ke-18 di Institut Tadbiran Awam Negara (Intan) di Bukit Kiara, Kuala Lumpur hari ini.

Bagaimanapun, beliau tidak mengulas lanjut mengenai apa yang dimaksudkannya sebagai "perkara yang dibangkitkan" itu sebelum berlalu pergi.

Semalam Malaysiakini melaporkan Perkhidmatan Awam melantik Iskandar sebagai pengarah baru Intan, berkuat kuasa 1 Julai.

Bagaimanapun pelantikan itu tidak disenangi sesetengah pihak memandangkan Iskandar pernah berkhidmat sebagai salah seorang pegawai Najib.

Untuk rekod Intan ialah agensi kerajaan pusat yang melatih penjawat awam dalam hal ehwal pengurusan dan pentadbiran.

Borhan Dolah

Malaysiakini kemudian diberitahu pelantikan Iskandar ditarik balik.

Iskandar menjadi ketua setiausaha sulit kepada Najib Raak pada Oktober 2016 menggantikan Shukry Mohd Salleh pada Oktober 2016 dan mempunyai pengalaman dalam perkhidmatan awam lebih 20 tahun.

Borhan berkata, Iskandar kini kembali berkhidmat di "tempat asal" beliau. Sumber kemudian memberitahu sebelum pelantikan dibuat, Iskandar ialah tenaga pengajar salah satu kluster di Intan.

Sementara itu ditanya mengenai pelantikan baru bagi mengisi jawatan pengarah Intan, Borhan berkata, ia akan dibuat selepas Perkhidmatan Awam bermesyuarat minggu depan.

Beliau juga memberitahu, calon untuk jawatan tersebut sudah ada.

“Kita akan adakan mesyuarat jawatankuasa mungkin pada minggu depan. Kita dah ada calon-calon sebelum ini,” katanya.

Lihat Komen