malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Kes Ku Nan: 'Datuk bandar ada kuasa tapi...'
ADS

Datuk Bandar Kuala Lumpur boleh menolak "cadangan" seorang menteri tetapi tidak bermakna ada berani untuk berbuat demikian, kata Mohd Amin Nordin di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Bekas datuk bandar Kuala Lumpur itu berkata demikian dalam keterangannya bagi kes rasuah bekas menteri wilayah Tengku Adnan Tengku Mansor yang didakwa menerima RM2 juta daripada Aset Kayamas Sdn Bhd.

Dalam keterangan saksinya, Mohd Amin berkata Tengku Adnan memberikan dua surat yang diterimanya daripada Aset Kayamas berkenaan penjualan dua lot tanah DBKL sebelum beliau menjadi datuk bandar.

Dalam surat pertama bertarikh 26 Ogos 2015 yang dialamatkan kepada Tengku Adnan, Aset Kayamas memohon penangguhan bayaran 10 peratus pertama (RM2.356 juta) untuk dua lot itu, serta diskaun.

Surat itu kemudian dimajukan kepada Mohd Amin dengan nota tulisan tangan daripada Tengku Adnan yang bertulis: "YBhg Datuk Bandar, Sila tangguh bayaran 10% selama 3 bulan".

Mohd Amin kemudian mengarahkan pengarah perancangan ekonomi DBKL ketika itu, Ab Salim Mansor untuk membalas surat itu - yang ditandatangani Mohd Amin - berdasarkan "arahan" Tengku Adnan agar meluluskan penangguhan bayaran.

Aset Kayamas kemudian menghantar surat kedua kepada Tengku Adnan pada 3 Februari 2016 untuk meminta penangguhan bayaran sekali lagi dan agar kenaikan harga jualan dikurangkan daripada 20 kepada 10 peratus.

Kali ini, nota Tengku Adnan kepada Mohd Amin bertulis: "Ybhg Datuk Seri Datuk Bandar, setuju harga tanah nilai +10% dan tangguh bayaran sehingga 1/4/16".

Sekali lagi Ab Salim diberi tanggungjawab untuk menguruskan permohonan itu.

Menurut Mohd Amin, DBKL kemudian menimbang permohonan Aset Kayamas dan meluluskannya berdasarkan "arahan" Tengku Adnan.

Ketika pemeriksaan balas, Mohd Amin setuju dengan hujah peguam Tan Hock Chuan yang nota yang ditulis bekas menteri itu hanyalah "cadangan".

Tan berkata, menurut undang-undang seorang menteri boleh membuat "cadangan" dan syor berkenaan penjualan tanah DBKL, tetapi akhirnya kuasa terletak pada DBKL untuk meluluskannya.

Menjawab kenyataan itu, Mohd Amin berkata: "Mungkin kuasa pada datuk bandar, tetapi datuk bandar tak berani buat keputusan."

Jawapan itu mencetuskan ketawa mereka yang hadir, dan Tan berkata ia adalah "kenyataan yang munasabah (fair statement)".

Mohd Amin juga setuju dengan kenyataan Tan bahawa Tengku Adnan dan DBKL setuju dengan permintaan Aset Kayamas kerana syarikat pemaju itu memberikan urus niaga yang baik kepada DBKL.

Ia termasuk pembinaan sebuah hostel untuk institut latihan DBKL di salah satu lot tanah yang dibeli, serta memberikan 120 unit rumah mampu milik untuk dijual kepada kakitangan DBKL.

Dalam penyataan pembukaan semalam, pihak pendakwaan membangkitkan penjualan dua lot tanah DBKL kepada Aset Kayamas sebagai bukti Tengku Adnan yang berurusan dengan syarikat itu.

Pihak pendakwaan berkata ketika Aset Kayamas pertama kali mencadangkan pembelian tanah untuk membina perumahan kos rendah pada Januari 2015, datuk bandar ketika itu Ahmad Phesal Talib menolaknya.

Aset Kayamas kemudian dikatakan berhubung dengan Tengku Adnan, yang memainkan peranan aktif dalam kelulusan projek itu.

Tengku Adnan didakwa meminta RM5-6 juta daripada pemilik Aset Kayamas, Chai Kin Kong pada Jun 2016 untuk digunakan dalam pilihan raya kecil.

Chai kemudian memberikan cek RM2 juta kepada syarikat milik Tengku Adnan, Tadmansori Holdings Sdn Bhd.

Pemeriksaan balas terhadap Mohd Amin akan diteruskan esok.

Lihat Komen