malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Kerajaan perlu ambil pendekatan dwipartisan untuk gubal dasar'
ADS

Setiausaha Agung Umno Annuar Musa mencadangkan pendekatan dwipartisan dalam membuat dasar, menggesa kerajaan bekerjasama dan berbincang dengan kabinet bayangan pembangkang.

Ini terutama untuk perkara yang memerlukan majoriti dua pertiga di Parlimen.

"Misalnya, untuk pindaan perlembagaan berkenaan hal melibatkan kepentingan awam, semua pihak boleh kerja bersama, bincang dan (apabila) datang ke parlimen, semua boleh sokong (usul)...

"Jadi untuk hal seumpama ini, kerajaan boleh duduk bersama pembangkang dan ketua pembangkang untuk bincang dan menyelesaikannya," katanya yang juga anggota parlimen Ketereh kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Annuar berkata zaman kerajaan dan pembangkang bergerak sebagai "blok berasingan" sudah berakhir.

Katanya, ini kerana gabungan pemerintah - Pakatan Harapan (PH) - tidak memiliki wakil rakyat yang cukup di Dewan Rakyat.

Beliau diminta mengulas berkenaan perkembangan kabinet bayangan sejak kerajaan baru ditubuhkan pada Mei lalu.

Kabinet bayangan BN yang ditubuh September lalu tidak begitu bergesan kerana kurangnya pengiktirafan daripada kerajaan, menjadikannya "sukar untuk bergerak ke depan", katanya.

PH kini berusaha untuk mendapatkan sokongan dua pertiga bagi usul menurunkan usia layak mengundi daripada 21 kepada 18 tahun. Usul itu dijadual dibentang untuk bacaan pertama esok.

Langkah itu - yang terkandung dalam manifesto PH - memerlukan pindaan Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan.

Annuar turut membangkitkan pelantikan ketua pesuruhjaya baru Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Latheefa Koya oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad tanpa rundingan kabinet mahupun jawatankuasa pilihan khas parlimen, serta usul agar semua anggota parlimen untuk mengisytiharkan set semalam.

Beliau menggesa kerajaan membenarkan kabinet bayangan untuk memberi pandangan dan bukannya membawa usul secara unilateral.

"Hari di mana pembangkang dan kerajaan menjadi dua blok berasingan dan apa saja daripada kerajaan akan ditentang pembangkang, dan apa saja dari pembangkang akan ditolak kerajaan, sudah berakhir," katanya lagi.

Pada masa ini, PH kekurangan sembilan kerusi Parlimen untuk majoriti dua pertiga.

Kali pertama kerajaan cuba meminda perlembagaan adalah pada April lalu, berkenaan Perkara 1(2) untuk mengembalikan Sabah dan Sarawak kepada taraf yang sama dengan semenanjung, dan bukan hanya salah satu negeri dalam Persekutuan Malaysia.

Usul itu gagal mendapat sokongan dua pertiga di Dewan Rakyat.

[Baca berita asal]

Lihat Komen