malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Derma politik' RM2 juta direkod sebagai imbangan hutang Ku Nan
ADS

Tengku Adnan Tengku Mansor mendakwa dana RM2 juta yang diterimanya adalah dari seorang pemaju dan merupakan derma politik, kata seorang pegawai eksekutif syarikat bekas menteri itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini.

Bagaimanapun, akauntan syarikat Tadmansori Holdings Sdn Bhd mendedahkan bahawa dana tersebut direkodkan sebagai imbangan hutang (offset debt) duit yang dipinjam Tengku Adnan daripada syarikat tersebut.

Tengku Adnan sedang menghadapi perbicaraan berkaitan dakwaan mengambil RM2 juta daripada Aset Kayamas Sdn Bhd, sebuah syarikat yang berurusan dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ketika menjadi menteri wilayah persekutuan.

Cek dikeluarkan oleh Aset Kayamas ke akaun Tadmansori Holdings, syarikat milik Tengku Adnan pada 14 Jun 2016.

Pihak pendakwa raya mendakwa bahawa Tengku Adnan telah meminta wang dari pemilik Aset Kayamas Chai Kin Kong untuk pembiayaan pilihan raya kecil.

Dalam kenyataan saksi, ketua pegawai operasi (COO) Mohd Hasbi Abdullah berkata bahawa beliau mendapat tahu mengenai cek tersebut ketika Tengku Adnan menghantar sekeping gambar slip deposit bank kepadanya melalui WhatsApp.

Dalam pemeriksaan balas oleh peguam bela Tan Hock Chuan, Mohd Hasbi mendedahkan bahawa dalam perbualannya selepas itu, Tengku Adnan memaklumkan kepadanya bahawa RM2 juta itu adalah sumbangan politik.

Dalam pemeriksaan balas oleh Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Rullizah Abdul Majid, Mohd Hasbi bagaimanapun berkata transaksi ini tidak direkodkan dalam akaun syarikat itu.

"Apa yang saya boleh sebut, setelah kami berkomunikasi, kami fahami kemasukan wang tersebut political donation (sumbangan politik), tapi dalam (perakaunan) kami menganggap wang tersebut sebagai pendahuluan kepada syarikat, itu saja saya boleh sebut," kata saksi pendakwa raya itu.

Terdahulu, pembantu kewangan dan perakaunan Tadmansori Holdings Rabiatul Adawiyah Sobri memberitahu mahkamah hari ini bahawa deposit RM2 juta itu dicatatkan sebagai imbangan hutang dalam buku lejar syarikat itu.

Ia dikatakan bagi mengimbangi hutang Tengku Adnan yang tidak dinyatakan secara spesifik kepada syarikat berkenaan.

Dia berkata, bukan perkara luar biasa bagi Tengku Adnan untuk meminjam dan membayar wang pendahuluan kepada syarikat itu.

Rabiatul menambah bahawa setakat yang diketahuinya, RM2 juta itu bukanlah pembayaran pihak ketiga, dan tidak menyedari penglibatan pihak ketiga dalam perkara itu.

Dalam kenyataan kesaksiannya sebelum itu, diau turut berkata bahawa Tadmansori Holdings juga tidak mempunyai urusan perniagaan dengan Aset Kayamas.

Rabiatul, yang telah bersama dengan Tadmansori sejak 2013, berkata sepanjang masanya bersama syarikat itu, tiada bayaran telah dibuat dari syarikat berkenaan kepada Umno.

Bagaimanapun, semasa pemeriksaan balas, Rabiatul mengakui syarikat itu menerima dana daripada Umno, termasuk ketika mereka membayar RM40,000 sebagai deposit untuk menyewa gudang.

Dalam kenyataan semalam, pihak pendakwaan berkata Tengku Adnan telah meminta kepada Chai RM5 juta hingga RM6 juta untuk digunakan dalam beberapa pilihan raya kecil.

Tiada tarikh yang disebutkan, tetapi tarikh 14 Jun 2016 bertepatan dengan pilihan raya kecil bagi kerusi parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar, yang disebutkan peguam bela beberapa kali semasa pemeriksaan balas mereka.

[Baca berita asal]

Lihat Komen