malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Baru 2 bulan, Hamid Bador kata dah ada pelan peralihan
Diterbitkan:  Jul 2, 2019 12:36 PM
Dikemaskini: 4:36 AM
ADS

Baru dua bulan menerajui pasukan polis, Ketua Polis Negara (IGP) Abdul Hamid Bador berkata beliau sudah pun mempunyai pelan peralihan.

Hamid mengesahkan bahawa dia dan timbalannya kini dalam proses “menguji” calon-calon yang berpotensi menggantikan jawatannya kelak.

Katanya yang diberi kontrak selama dua tahun sebagai IGP, calon-calon tersebut diperhatikan dalam satu tempoh ujian selama beberapa bulan untuk dinilai.

“Perkara ini telah saya bincangkan dengan timbalan saya, Datuk Mazlan Mansor. Insya-Allah kami ada satu pelan penggantian pegawai. Cuma kita dalam proses uji mereka.

“Sekiranya dalam tempoh tiga hingga empat bulan ini mereka yang dikenal pasti gagal puaskan hati (kami), mereka akan dikeluarkan daripada senarai dan kami akan cari pegawai lain yang bakal ambil alih yang akan dapat tempoh khidmat lagi lama daripada saya,” katanya demikian dalam wawancara bersama Sinar Harian.

Beliau ditanya apa yang akan berlaku jika beliau berapa terlalu berat untuk menyambung kontrak itu selepas dua tahun.

Katanya, tempoh dua tahun yang diberikan kepadanya untuk memegang jawatan IGP adalah tempoh “setimpal” bagi melaksanakan hasrat kerajaan.

Bagaimanapun, tambahnya lagi, demi kebaikan masa depan PDRM, barisan pelapis yang dikenal pasti harus melepasi beberapa kriteria untuk menggantikan ketua polis dan timbalan ketua polis.

“Demi kebaikan masa depan, saya akan kenal pasti barisan pelapis. Saya akan bincang dengan Datuk Mazlan tentang senarai nama dari segi umur, pengalaman, rekod integriti dan tidak rasuah.

“Mereka inilah yang ada nilai-nilai baik bakal gantikan saya dan Datuk Mazlan,” katanya lagi.

Abdul Hamid dilantik sebagai IGP baru bagi menggantikan Mohamad Fuzi Harun yang bersara wajib pada 3 Mei lalu.

Ketika memegang jawatan sebagai timbalan pengarah Cawangan Khas (SB) Bukit Aman pada 2015, Abdul Hamid pernah mendedahkan mengenai usaha tertentu bagi menyembunyikan saksi utama dalam siasatan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Beliau diarahkan berpindah ke Jabatan Perdana Menteri (JPM) pada Ogos 2015 atas sebab-sebab yang tidak diketahui, dan kemudiannya bersara secara pilihan pada 2016.

Selepas kemenangan PH PRU-14, beliau dipanggil untuk kembali berkhidmat oleh Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad dan dilantik sebagai pemangku timbalan ketua polis negara menggantikan Noor Rashid Ibrahim yang bersara pada Mac 2019.

Kontrak Abdul Hamid ialah selama dua tahun, iaitu dari 4 Mei 2019 hingga 3 Mei 2021. 

Lihat Komen