malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Jakoa: Pembangunan OA tak diutamakan hingga pertengahan RMK11
Diterbitkan:  Jul 2, 2019 12:20 PM
Dikemaskini: 4:20 AM
ADS

Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) menjelaskan kegagalan kerajaan memberikan keutamaan terhadap pembangunan masyarakat Orang Asli berlaku sehingga pertengahan Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11) saja.

“Menurut laporan yang telah diterbitkan oleh Malaysiakini bahawa ketua pengarah Jakoa menyatakan pihak kerajaan masih belum memberikan keutamaan terhadap pembangunan masyarakat Orang Asli.

“Jakoa ingin menegaskan bahawa kenyataan yang tepat berkenaan perkara ini adalah sehingga pertengahan RMK-11, beberapa isu berkenaan pembangunan masyarakat Orang Asli masih tidak dapat diselesaikan,” kata ketua pengarahnya Dr Juli Edo.

RMK11 ialah rancangan lima tahun terakhir untuk merealisasikan Wawasan 2020 pada tahun depan.

Juli berkata demikian ketika menjelaskan kenyataannya yang dilaporkan Malaysiakini pada 29 Jun lalu yang menyebut penempatan Orang Asli walaupun wujud, masih belum diberi keutamaan oleh kerajaan.

Katanya, masyarakat Orang Asli masih dihimpit kemiskinan dan masih gagal mendapat pembelaan sewajarnya.

Peruntukan belanjawan juga, katanya, agak kecil.

Dalam kenyataan hari ini, Juli berkata statistik menunjukkan sekitar 99 peratus masyarakat Orang Asli tergolong dalam kumpulan 40 peratus termiskin (B40) dan kebanyakkannya berada dalam kelompok miskin tegar.

“Dalam menangani isu pembangunan Orang Asli, Jakoa menaruh harapan yang tinggi agar kerajaan serius untuk menunaikan janji 38 dalam Manifesto Pakatan Harapan.

“Semoga pihak kerajaan dapat mengambil langkah yang lebih drastik, konstruktif dan bersandarkan participatory development dalam merealisasikan pembangunan masyarakat Orang Asli,” katanya.

Lihat Komen