malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Hari ke-31: Sejak mula, strategi peguam Najib ialah kelirukan saksi, kata DPP
ADS

KES NAJIB | Perbicaraan terhadap bekas perdana menteri Najib Razak yang melibatkan dakwaan penyalahgunaan dana SRC International Sdn Bhd memasuki hari ke-30 di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Malaysiakini membawakan liputan secara langsung perbicaraan hari ini:


DPP: Sejak mula, strategi peguam Najib ialah kelirukan saksi

5.18 petang: Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Ishak Mohd Yusoff mendakwa strategi pembelaan Najib Razak sejak bermulanya perbicaraan SRC International adalah dengan memberikan ulasan kejadian (running commentary) yang mengelirukan saksi.

"Sejak hari pertama, (ketika) pemeriksaan balas diberi running commentary, kemudian baru tanya soalan.

"Kenapa tidak tanya soalan spesifik berbanding ulasan yang mengelirukan saksi?" kata Ishak kepada Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Ia susulan pertelingkahan antara pendakwaan dan pembelaan berhubung sama ada untuk membenarkan bekas pengarah SRC International Suboh Md Yassin menjelaskan jawapannya.

Terdahulu, ketika Suboh cuba menjelaskan satu kenyataan, peguam Harvinderjit Singh memotong percakapannya dan mencetuskan kemarahan DPP V Sithambaram.

"Biar dia jawab. Ini tidak adil, dia seorang lelaki yang telah berusia yang jawapannya cuba dipoton (pembelaan)," katanya kepada Harvinderjit.

Hakim kemudian menangguhkan perbicaraan kepada sembilan pagi esok.


Nik Faisal 'jadi berani' sebab ada orang di belakang - Suboh

5.10 petang: Bekas pengarah SRC International Suboh Md Yassin menyifatkan CEO syarikat ketika itu Nik Faisal Ariff Kamil "menjadi berani" kerana ada "seseorang di belakangnya".

Ketika pemeriksaan balas dengan peguam Harvinderjit Singh, dia mengibaratkan sokongan yang diterima Nik Faisal dengan kata pepatah Cina berkenaan memiliki "gunung di belakangnya".

"Dia (Nik Faisal) jadi berani kerana kedudukannya. Dia CEO syarikat. Orang yang sangat berkuasa, orang nombor dua.

"Dia jadi berani kerana dia ada seseorang di belakangnya. Seperti kata pepatah Cina, 'gunung di belakangnya'," kata Suboh.

Dia menjawab soalan Harvinderjit sama ada Nik Faisal berbohong kepada lembaga pengarah SRC berkenaan hubungannya dengan Najib.


Suboh: Najib tak beritahu lembaga SRC peranan Nik Faisal sebagai 'perantara'

5 petang: Bekas pengarah SRC International Suboh Md Yassin berkata Najib Razak tidak pernah memaklumkan lembaga pengarah syarikat bahawa CEO pada masa itu, Nik Faisal Ariff Kamil adalah 'perantara' antara syarikat itu dengannya.

Saksi ke-42 perbicaraan itu berkata demikian ketika sesi pemeriksaan balas dengan peguam Harvinderjit Singh.

Harvinderjit: Tidak pernah pada mana-mana ketika Najib beritahu lembaga pengarah (SRC International), secara lisan atau bertulis, yang Nik Faisal ialah perantara (point of contact)?

Suboh: Betul.


Suboh tukar keterangan 3 kali berkenaan tandatangan dokumen bank 

3.40 petang: Mahkamah difahamkan bekas pengarah SRC International Suboh Md Yassin beberapa kali menukar keterangan kepada SPRM berkenaan dakwaan tandatangannya pada 17 arahan perbankan berhubung pemindahan wang melibatkan Gandingan Mentari Sdn Bhd dan Ihsan Perdana Sdn Bhd.

Gandingan Mentari ialah subsidiari SRC International manakala Ihsan Perdana rakan usaha sama dalam tanggungjawab sosial korporat SRC.

Ketika pemeriksaan balas dengan ketua pembelaan Muhammad Shafee Abdullah, Suboh setuju bahawa ketika keterangannya diambil SPRM pada 2015, dia mengaku semua dokumen ditandatanganinya.

Ia kemudian disahkan bahawa Suboh menukar kenyataannya apabila disoal siasat pada 28 dan 30 Mei 2018. Ketika itu dia menafikan menurunkan tandatangan dan tahu tentang transaksi.

Kali ini Suboh memberitahu SPRM dia membuat pengakuan pada 2015 kerana tiada peluang untuk menyemak semua tandatangan secara terperinci.

Menurut keterangan Suboh kepada SPRM, yang dibacakan Shafee dan disahkan saksi ke-42 itu, Suboh membuat pusingan U sekali lagi dan mengaku semua dokumen berkaitan perkara itu memang ditandatanganinya.

Disoal Shafee berkenaan keterangan bertentangan ini, Suboh memberitahu mahkamah dia mungkin boleh memberi jawapan yang lebih baik kepada SPRM pada masa itu jika ditunjukkan perbandingan tandatangan, seperti yang dibuat Shafee di mahkamah semalam.

Shafee: Jadi anda kata jika ditunjukkan (tandatangan) seperti yang saya lakukan, anda boleh beri jawapan yang lebih baik (ketika itu)?

Suboh: Ya.

Shafee: Sekarang anda jelas yang semua dokumen pemindahan wang - daripada SRC ke Gandingan Mentari, dan kemudian daripada Gandingan Mentari ke Ihsan Perdana - bukan anda yang tandatangan?

Suboh: Ya.

Shafee: Sekarang anda terima bahawa anda tidak tandatangan (dokumen)?

Suboh: Ya, terutama tandatangan sama (di salinan arahan perbankan).


Suboh tak pasti sama ada diletak bawah perlindungan SPRM

3.20 petang: Bekas pengarah SRC International Sdn Bhd Suboh Md Yassin berkata tidak tahu sama ada dia diletakkan di bawah program pelindungan saksi oleh SPRM selepas setuju untuk membantu siasatan terhadap skandal syarikat itu.

Dalam keterangan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, dia juga menafikan SPRM memberinya sebarang bentuk jaminan.

Dia berkata hanya dihubungi SPRM pada akhir Mei 2018 ketika berada di Jakarta untuk membincangkan jadual kepulangannya di Malaysia.

Shafee: Perbualan (dengan SPRM) berkenaan apa?

Suboh: Kami berbincang tentang jadual, apa penerbangan (yang perlu diambil).

Shafee: Anda kata anda hubunginya (pegawai SPRM). Untuk apa?

Suboh: Saya kata saya dalam percutian dan sama ada (larangan ke luar negara) dapat dibatalkan.

Shafee: Kemudian dia kata apa?

Suboh: Kembali ke Malaysia.

Shafee: Adakah wujud sebarang bentuk jaminan?

Suboh: Tiada.

Shafee: Anda pasti?

Suboh: Pasti.

Shafee: (Anda diberi) perlindungan saksi?

Suboh: Perlindungan yang macam mana?

Shafee: Adakah anda diberi perlindungan saksi?

Suboh: Saya tak tahu.

Shafee: Apabila anda pulang, anda ada minta untuk tinggal di tempat lain?

Suboh: Tidak.

Shafee: Jadi anda minta untuk tinggal di rumah?

Suboh: Ya.

Shafee: Adakah anda dikawal oleh SPRM?

Suboh: Saya tak tahu.

Shafee: Anda tak tahu?

Suboh: Saya tinggal di kondominium, ada pengawal di sana.

Shafee: Anda sedar sama ada anda dikawal oleh mana-mana pegawai SPRM?

Suboh: Tiada setakat pengetahuan saya.

Shafee: Anda berunding untuk larangan ke luar negara dibatalkan?

Suboh: Tidak. Sehingga sekarang, saya tidak berunding apa-apa.


3.10 petang: Bekas pengarah SRC International Suboh Md Yassin dalam keterangannya berkata beliau bukan sahaja dapat mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU), malah pergi bercuti ke Jakarta sekitar akhir bulan Mei 2018.

Semasa pemeriksaan balas oleh peguam Najib Razak, Muhammad Shafee Abdullah, Suboh bagaimanapun berkata beliau terpaksa memendekkan percutiannya bersama isteri apabila mengetahui larangan perjalanan dikeluarkan terhadapnya.

"Anak saya di sini (Malaysia), saya berkomunikasi dengan dia, dia kata, saya perlu lihat pasport saya," kata Suboh.

Kata Suboh dia mengetahui mengenai larangan perjalanan itu selepas memeriksa status di dalam talian.

Suboh berkata beliau kemudian berhubung dengan SPRM, yang menyebabkan beliau memberi kenyataan kepada suruhanjaya itu pada 28 Mei 2018.


2.59 petang: Prosiding disambung semula dengan bekas pengarah SRC International Suboh Md Yassin menyambung keterangan dalam pemeriksaan balas oleh peguam bela utama Najib Razak, Muhammad Shafee Abdullah.


1.30 tengah hari: Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Nazlan Mohd Ghazali mengarahkan saksi ke-42 yang juga bekas pengarah SRC International Suboh Md Yassin membaca bahagian berkaitan dalam pernyataan yang diberikan kepada SPRM.

Beliau membuat keputusan itu selepas berlaku perbalahan antara pihak pendakwaan dan peguam bela sama ada Suboh harus dibenarkan untuk membaca keseluruhan pernyataan itu atau hanya bahagian yang berkaitan.

"Saya benarkan selepas rehat, pernyataan itu diberikan kepada saksi untuk dibaca dan untuk beritahu mahkamah sama ada boleh menyerlahkan bahagian tertentu (yang berkaitan)," kata hakim ketika membuat keputusan.

Sebelum itu, Shafee berhujah bahawa Suboh harus dibenarkan untuk membaca keseluruhan pernyataan yang telah diberikan kepada SPRM supaya dia boleh memahami konteks.

DPP V Sithambaram membalas bahawa ia tidak perlu kerana bahagian yang relevan dalam transaksi Rentas (SRC International, Gandingan Mentari dan Ihsan Perdana) semuanya dalam bahagian yang berkaitan dalam pernyataan itu.

Nazlan kemudian membenarkan prosiding ditangguhkan untuk waktu makan tengah hari dan disambung semula pada jam 2.45 petang.


12.34 tengah hari: Perbicaraan diteruskan.


11.45 pagi: Perbicaraan berhenti seketika sementara menunggu ketibaan dokumen yang mengandungi pernyataan bekas pengarah SRC International Suboh Md Yassin kepada SPRM.

Pasukan pembelaan kepada bekas perdana menteri Najib Razak meminta agar pernyataan yang dibuat tahun lalu dikemukakan di mahkamah.

Difahamkan peguam bela utama Muhammad Shafee Abdullah cuba membuktikan apa yang membuatkan Suboh pada mulanya memberi keterangan bahawa dia sendiri telah menandatangani dokumen bank yang membenarkan pemindahan bernilai berjuta-juta ringgit antara SRC International, Gandingan Mentari dan Ihsan Perdana.

Suboh bagaimanapun berkata awal hari ini bahawa dia tidak menandatangani dokumen itu.

Menurut peguam Farhan Muhammad Shafee, prosiding akan disambung semula pada jam 12.30 tengah hari.


10.20 pagi: Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali (gambar) membenarkan permohonan pihak pembelaan agar pernyataan yang diberikan oleh bekas pengarah SRC International, Suboh Md Yassin kepada SPRM pada tahun 2018 dikemukakan di mahkamah.

 "Atas permintaan saksi untuk menyegarkan ingatannya dengan merujuk kepada kenyataan yang diberikannya kepada SPRM, di bawah Seksyen 159 (Akta Keterangan 1950) berhubung pelaporan kenyataan oleh seorang saksi kepada pegawai rakaman, saya benarkan permohonan itu," perintah hakim.

Nazlan membuat keputusan itu selepas Suboh mengakui ketika pemeriksaan balas bahawa tandatangannya mungkin dipalsukan berhubung 17 transaksi yang melibatkan berjuta-juta ringgit antara SRC International, Gandingan Mentari, dan Ihsan Perdana.

Disoal oleh oleh peguam bela Muhammad Shafee Abdullah, Suboh bersetuju bahawa tandatangannya dipalsukan atas dokumen bank yang membenarkan transaksi ini antara tahun 2014 dan 2015.


10.05 pagi: Ketua peguam bela, Muhammad Shafee Abdullah cuba menyoal saksi utama pendakwaan Suboh Md Yassin untuk mengakui bahawa dia dilatih untuk menandatangani 17 dokumen AmIslamic Bank antara 2014 dan 2015.

Ini berlaku selepas bekas pengarah SRC International itu mengakui di mahkamah bahawa tandatangan dokumen itu boleh jadi bukan miliknya.

Shafee bermula dengan menunjukkan bahawa Suboh memberitahu pihak pendakwaan semalam bahawa dia menandatangani dokumen itu sendiri.

Peguam itu kemudiannya cuba mendapatkan saksi untuk bersetuju bahawa dia mesti mengenali tandatangannya sendiri.

Shafee: Saya tanya kepada kamu ini. Jawab dengan jujur. Saya akan letakkan kamu dalam kedudukan yang lebih selesa. Saya katakan kamu tidak boleh mengenali tandatangan kamu sendiri.

Suboh: Boleh kamu ulang sekali lagi?

Shafee: Kamu tidak boleh mengenali tandatangan kamu sendiri. Ini bermakna kamu perlu dapat mengenali tandatangan kamu sendiri.

Suboh: Ya, betul.

Shafee: Dan kamu tidak membuat kesilapan (ketika mengatakan) bahawa hardcopy (salinan keras) itu bukan tandatangan kamu?

Suboh: Betul.

Shafee: Siapa yang meminta kamu mengakui salinan keras mengandungi tandatangan kamu? Siapakah yang membuat kamu berkata demikian? Berhati-hati dengan jawapan kamu. Kamu berada di mahkamah. Saya tanya lagi. Siapakah yang membuat kamu berkata demikian? Mengapa kamu mengakui (ini tandatangan kamu)?

Suboh: Saya tidak pernah meletakkan kenyataan sedemikian.

Shafee: Adakah kamu pasti?

Suboh: Ya.

Shafee: Bukankah kamu selepas pilihan raya, tidakkah kamu kamu kata kepada pegawai SPRM, 'Ini bukan tandatangan saya'? Adakah kamu tidak mengatakannya?

Suboh: Saya tidak ingat.

Shafee: Come on lah, ini bukan acara yang kamu boleh katakan 'tidak ingat'. Ini apabila pernyataan kamu direkodkan oleh SPRM.

Suboh: Saya tidak ingat.

Shafee: Jika kamu melihat pernyataan kamu sendiri, adakah kamu dapat ingatinya semula?

Suboh: Ya.

Shafee: Adakah kamu mahu melihat (pernyataan itu)?

Suboh: Boleh.

Shafee kemudian membuat permohonan untuk membolehkan saksi itu mengingati semula dengan merujuk pernyataannya kepada SPRM pada 2018.


9.50 pagi: Suboh Md Yassin setuju dengan cadangan peguam bela Muhammad Shafee Abdullah bahawa beliau tidak boleh menandatangani 17 dokumen yang berkaitan dengan pemindahan wang antara SRC International, Gandingan Mentari dan Ihsan Perdana antara 2014 dan 2015.

Ini bercanggah dengan keterangan pengarah bekas Pengarah Antarabangsa SRC itu semalam yang memberitahu pihak pendakwaan bahawa beliau menandatangani dokumen bank itu sendiri.

Shafee: Saya mahu membuat beberapa kesimpulan. Semua salinan yang diimbas (scan), kebanyakannya, mengandungi tandatangan anda. Tetapi ia diimbas (salinan tandatangan kamu). Seseorang mengambil tandatangan kamu, potong dan tampalkannya pada dokumen, dan hantar ke bank. Mereka bawa tandatangan kamu tetapi kamu tidak menandatangani dokumen tersebut. 17 kali. Kamu tidak boleh menandatanganinya sendiri, kamu setuju?

Suboh: Ya.

Shafee: Kamu tidak menandatangani salinan yang diimbas?

Suboh: [Setuju]

Shafee: Ini bermakna kamu tidak menandatangani sebarang Rentas (pemindahan wang secara elektronik) yang merupakan bukti dalam kes ini. Kamu tidak menandatanganinya.

Suboh: Lalu siapa yang buat?

Shafee: Kami akan dapatkannya. Kemungkinan besar ketua Pegawai Eksekutif kamu (bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC International Nik Faisal Ariff Kamil). Tetapi kamu tidak menandatangani (dokumen-dokumen ini)?

Suboh: Ya.

Terdahulu, Suboh bersetuju bahawa tandatangannya pada salinan arahan kepada AmIslamic Bank untuk pemindahan mungkin dipalsukan.

Saksi berkenaan mengaku perkara itu apabila Shafee meminta beliau membandingkan sampel tandatangan yang dia hasilkan di mahkamah semalam dengan yang berada pada dokumen bank.


9.30 pagi: Sama seperti semalam, bekas pengarah SRC International membandingkan sampel tandatangannya yang dihasilkan di mahkamah dengan yang terdapat pada dokumen sebagai bukti.

Peguam utama, Muhammad Shafee Abdullah terus menunjukkan imej sampel tandatangan Suboh, yang dipaparkan pada layar skrin di mahkamah.

Sampel ini terdapat pada dokumen SRC International dan Gandingan Mentari, yang mana Suboh sendiri menandatanganinya antara 2014 dan 2015.

Saksi kemudian bersetuju bahawa sampel tandatangan itu tidak serupa dengan dokumen-dokumen, termasuk arahan kepada AmIslamic Bank untuk memindahkan wang antara SRC International, Gandingan Mentari dan Ihsan Perdana.

Shafee: Perhatikan hardcopy dan (sampel) tandatangan kamu yang kami 'superimposed' kan (letakkan di atasnya).

Suboh: Ia berbeza.

Shafee: Berbeza sepenuhnya, kamu setuju?

Suboh: Betul.


9.07 pagi: Perbicaraan bermula apabila Najib Razak memasuki kandang tertuduh.


9.03 pagi: Tertuduh Najib Razak memasuki mahkamah dan mengambil tempat duduk di barisan hadapan galeri awam sambil menunggu perbicaraan bermula.

Bekas perdana menteri itu dilihat berbincang dengan peguamnya, Muhammad Shafee Abdullah dan peguam bela Harvinderjit Singh.

Turut kelihatan di mahkamah adalah timbalan pendakwa raya (DPP) V Sithambaram dan barisan pihak pendakwaan.


Perbicaraan terhadap bekas perdana menteri Najib Razak atas dakwaan penyelewengan RM42 juta dana bekas anak syarikat 1MDB, SRC International memasuki hari ke-31 hari ini.

Perhatian hari ini akan tertumpu kepada pemeriksaan balas terhadap bekas pengarah SRC International Suboh Md Yassin dalam

Ketika prosiding diteruskan di hadapan hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Nazlan Mohd Ghazali pada jam 9 pagi tadi, pemerhati akan mengamati pengakuan saksi ke-42 itu yang akan disoal oleh peguam bela, Muhammad Shafee Abdullah.

Suboh petang semalam memberikan keterangan bahawa beliau bersetuju dengan kemungkinan yang dinyatakan Shafee bahawa CEO syarikat itu Nik Faisal Ariff Kamil mungkin memalsukan tandatangan saksi antara 2014 dan 2015.

Ketika ditanya Shafee bertalu-talu, Suboh bersetuju dengan kemungkinan Nik Faisal melakukan muslihat, untuk memberi kuasa kepada pemindahan berjuta-juta ringgit antara akaun syarikat 1MDB berkaitan, anak syarikat Gandingan Mentari Sdn Bhd dan rakan kongsi CSR, Ihsan Perdana Sdn Bhd.

Bagaimanapun, keterangan lisan ini mungkin bertentangan dengan keterangan Suboh sendiri semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Ishak Mohd Yusoff pagi semalam, di mana saksi itu menyatakan beliau telah meletakkan tandatangannya di transaksi bank yang berkaitan dokumen yang disampaikan kepadanya untuk mendapatkan kebenarannya.

Satu lagi perkara yang mungkin disentuh pihak pembelaan hari ini adalah mengenai keterangan Suboh bahawa beliau melarikan diri dari Malaysia pada tahun 2015 selama tiga tahun dan hanya kembali ke negara ini selepas pilihan raya umum ke-14 tahun lepas.

Lihat Komen