malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Wan Ji sedia debat Nik Zawawi tanpa syarat
ADS

Pendakwah bebas Wan Ji Wan Hussin tidak meletakkan sebarang syarat untuk berdebat dengan Ketua Dewan Ulama PAS Nik Zawawi Salleh yang mewajibkan hukum menjatuhkan kerajaan PH.

Jelas Wan Ji dia bersedia berdebat di mana-mana platform asalkan perbincangan tersebut dapat disampaikan kepada umum.

“Nik Zawawi ingin berdebat dengan syarat tapi saya punya pandangan, saya pula sedia debat tanpa syarat.

“Mana-mana platform pun saya okey, tanpa syarat, kalau dia dengan syarat tapi saya tanpa syarat,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Wan Ji berkata demikian ketika diminta mengulas syarat yang ditetapkan oleh Nik Zawawi yang hanya mahu berdebat sekiranya sesi berkenaan dibuat secara terbuka dan disiarkan secara langsung di televisyen atau tempat terbuka seperti di stadium.

Pada ucapan penutup Muktamar Tahunan PAS pada 23 Jun lalu, Nik Zawawi berkata menjatuhkan kerajaan PH adalah wajib dan menegaskan tiada sebarang khilaf mengenai perkara itu.

"Parti kita, PAS, berhadapan dengan PH hukumnya adalah wajib. Menjatuhkan kerajaan yang sedia ada ketika ini hukumnya wajib," kata anggota Parlimen Pasir Puteh itu.

Susulan itu, Wan Ji secara tidak langsung mencabar Nik Zawawi untuk membicarakan kewajarannya mewajibkan penyokong PAS menjatuhkan kerajaan PH.

Wan Ji berkata beliau difahamkan Yang dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) Zolkhairnain Abidin turut menawarkan diri menjadi penganjur kepada debat berkenaan.

Selain itu, menurutnya, Zolkhairnain telah menghantar mesej kepada Nik Zawawi berkaitan kesediaannya untuk menganjur dan menjemput Wan Ji sebagai panelis.

“Saya pun tengah tunggu maklum balas Zawawi. Lagi cepat (debat) lagi bagus,” katanya.

Kata Wan Ji lagi, beliau turut menawarkan sesi debat itu kepada stesen televisyen Al-Hijrah melalui slot Analisis bersama pengacara Finaz namun belum mendapat maklum balas.

“Saya cadangkan TV Al-Hijrah cuma kalau boleh masuk RTM, TV3 lagi baik

“Sudah cadangkan tapi belum dapat respons. Terpulang pada mereka kerana mereka yang ada ruang tu. Saya cuma tawar diri jadi panel,” katanya.

Lihat Komen