Pengiklanan

    Bau pelik di Pasir Gudang lepas hujan, waktu malam

    (Dikemaskini )
    Bernama  |  Berita

    Belum pun lega daripada krisis pencemaran kimia di Sungai Kim Kim pada Mac lepas, penduduk Pasir Gudang diuji lagi dengan insiden pencemaran udara sejak 20 Jun lepas yang sehingga kini belum diketahui puncanya.

    Berdasar aduan mangsa, bau busuk yang melampau menyebabkan mereka mengalami simptom sesak nafas dan muntah, dan aduan itu ada asasnya apabila bau itu turut menangkap hidung wartawan dan jurugambar Bernama yang membuat tinjauan di beberapa kawasan terjejas.

    Bau busuk dan tengik semakin kuat semasa cuaca gerimis ketika Bernama berada di beberapa kawasan perumahan seperti Taman Mawar, Taman Pasir Gudang dan Taman Bukit Dahlia yang tidak jauh dari Sekolah Agama Taman Mawar, iaitu sekolah pertama yang terjejas dalam insiden hampir 10 hari lalu.

    Malah bau itu dapat dihidu sebaik memasuki kawasan terlibat walaupun berada dalam kereta dengan pendingin hawa, sehingga kedua-dua petugas mengalami rasa pening serta sukar untuk bernafas.

    Apa yang dilalui petugas Bernama itu turut diakui beberapa penduduk yang menyifatkan bauan itu bukan sahaja tidak menyenangkan, tetapi juga membimbangkan.

    Malah, bau yang disifatkan penduduk sebagai 'pelik' itu semakin kuat pada waktu malam dan selepas hujan dan telah menyelubungi kehidupan harian mereka sejak insiden pencemaran bahan kimia Sungai Kim Kim Mac lepas.

    Raja Ismail Raja Atan, 45, yang tinggal di Taman Pasir Putih, iaitu kira-kira 50 meter dari Sungai Kim Kim berkata kekerapan bau busuk dan tengik itu mula 'naik' selepas pukul 10 malam sehingga mengakibatkan sakit kepala, pening dan loya sekiranya terhidu.

    "Sebenarnya, bau itu dah lama kami hidu, semasa kejadian Sungai Kim Kim dah ada bau busuk itu, cuma sekarang ia agak teruk sebab semakin ramai yang alami muntah, loya, pening dan sebagainya," katanya kepada Bernama ketika ditemui di rumahnya.

    Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin dalam sidang media mengesahkan tiga gas dikesan dalam insiden gangguan kesihatan di daerah itu iaitu gas metil merkaptan, akrilonitril dan akrolein.

    Kehadiran ketiga-tiga gas itu katanya boleh memberi kesan kepada kumpulan yang berisiko tinggi seperti kanak-kanak dan penghidap asma, namun mengesahkan ketiga-tiga gas itu tidak dikesan dalam sampel darah dan air kencing 10 pesakit daripada lapan buah sekolah yang telah dianalisis.

    Berkongsi pengalaman, kerani bank, Farhanah Rahim, 32, yang tinggal di Taman Bukit Dahlia terletak kurang 3.5 kilometer dari Sekolah Agama Taman Mawar, berkata beliau seakan sudah 'kebal' dengan bau misteri yang membelenggu kawasan tempat tinggalnya sejak beberapa bulan lepas.

    "Kami penduduk di sini macam dah terbiasa dengan segala bau di Pasir Gudang ini sebab macam-macam bau ada pada waktu tertentu. Kadang-kadang bau busuk ada...bau tengik ada dan bau itu memang susah nak describe macam mana," katanya.

    Bagaimanapun katanya pencemaran yang tidak diketahui puncanya dan telah berlarutan selama seminggu itu, mengakibatkan matanya pedih bila berada di kawasan terbuka serta sakit tekak.

    Seorang penduduk di Taman Mawar, yang hanya ingin dikenali sebagai Bob (he) menyuarakan kebimbangan dan kegusarannya bahawa isu sebegini mampu memberi kesan lebih teruk pada masa hadapan terhadap seluruh penduduk daerah itu.

    "Secara logik, sekarang ramai yang alami muntah-muntah, pening, cirit birit tetapi saya risau mungkin dalam tempoh dua atau tiga tahun lagi kami boleh terkena kesan sampingan lain disebabkan bau 'misteri' ini," katanya.

    Setakat ini, Kementerian Kesihatan Malaysia melalui kenyataan memaklumkan seramai 748 orang terdiri daripada 709 menerima rawatan pesakit luar dan 39 orang dimasukkan ke dalam wad sehingga semalam (27 Jun).

    Sebelum ini, media melaporkan sebanyak 475 institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di daerah Pasir Gudang diarah tutup serta merta selama tiga hari, bermula 25 hingga 27 Jun lepas, disebabkan pencemaran gas yang berlaku sejak Khamis minggu lalu.

    Pada 20 Jun lepas, 15 murid Sekolah Agama Taman Mawar, manakala 13 murid Sekolah Kebangsaan Pasir Gudang (4), mengalami sesak nafas, loya dan muntah, dipercayai akibat terhidu udara yang tercemar itu.

    Ia merupakan pencemaran kali kedua berlaku di Pasir Gudang selepas kejadian pembuangan sisa kimia di Sungai Kim Kim tiga bulan lalu, yang menyaksikan lebih 4,000 orang jatuh sakit dan 111 buah sekolah ditutup.

    Rata-rata penduduk Pasir Gudang menggesa kerajaan dan pihak berkuasa terlibat menyelesaikan isu pencemaran dan mengenal pasti punca bau 'misteri' itu secepat mungkin kerana bimbang keadaan akan menjadi semakin teruk, terutamanya kepada kanak-kanak yang mudah terkesan dengan pencemaran itu.

    - Bernama

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih