malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Berjayakah cubaan kedua PH pinda perlembagaan?
Diterbitkan:  Jun 29, 2019 8:21 AM
Dikemaskini: 12:25 AM
ADS

PH akan membuat percubaan kali kedua untuk meminda Perlembagaan Persekutuan apabila Dewan Rakyat bersidang semula minggu depan.

Untuk merealisasikan manifesto mereka yang berjanji menurunkan usia mengundi - daripada 21 tahun ke 18 tahun - PH perlu memastikan pindaan dapat dilakukan terhadap Fasal 119 Perlembagaan Persekutuan.

Setelah babak melompat parti suatu ketika dahulu, PH - bersama rakan sekutunya, Warisan dan Upko - akan ke Parlimen dengan kedudukan kerusi yang yang kukuh, iaitu 139 daripada 222 kerusi Dewan Rakyat.

Ini bermakna, PH hanya perlukan sembilan kerusi lagi bagi mendapatkan majoriti dua pertiga dalam Dewan Rakyat sekali gus membolehkan pindaan tersebut dibuat.

 

Status Anggota Parlimen Sipitang, Yamani Hafez Musa, sebagai ahli Bersatu pula masih tidak jelas. Namun, jika keahliannya disahkan sekalipun, PH masih memerlukan lapan lagi kerusi untuk menjayakan pindaan itu.

Sokongan daripada mana-mana parti pembangkang, BN (40 kerusi), PAS (18 kerusi) atau Gabungan Parti Sarawak - atau GPS - (18 kerusi) pun sudah cukup untuk PH menjayakan hasrat mereka.

Walaupun perkembangan hak mengundi ini bukanlah isu kontroversi, politik masih mampu menjadi penghalang seperti yang berlaku dalam cubaan pertama PH untuk meminda Perlembagaan Persekutuan.

Ujian yakinkan pembangkang

Pada 9 April, Dewan Rakyat melakukan undian untuk meminda Fasal 1(2) Perlembagaan Persekutuan yang bertujuan untuk mengembalikan kedudukan Sabah dan Sarawak sebagai kawasan setara dengan Semenanjung Malaysia berbanding status negeri seperti termaktub dalam perlembagaan.

Rang undang-undang itu tidak dapat diluluskan apabila hanya 138 anggota parlimen menyokong, manakala 59 lagi berkecuali.

Keadaan itu meletakkan bermakna kekurangan 10 undi untuk mendapat undi minimum bagi membolehkan ia diterima.

Biarpun GPS bersetuju dengan pindaan tersebut, gabungan terbabit tidak mengundi untuk menyokongnya dengan alasan ia “tidak bermakna" memperkasa kedudukan Sabah dan Sarawak dan "tidak menyeluruh".

BN dan PAS juga mengambil pendirian serupa.


Baca Pembangkang Sabah, S'wak mahu RUU pinda Perkara 1(2) ditarik


Apa yang menariknya, kumpulan pembangkang yang lebih kecil seperti Gabungan Bersatu Sabah (tiga anggota parlimen) dan Anggota Parlimen Kimanis, Anifah Aman (bekas menteri Umno yang kini menjadi wakil rakyat bebas) menyokong pindaan tersebut.

Seramai 24 anggota parlimen tidak hadir semasa pengundian tersebut, termasuk empat daripada PH.

Pindaan perlembagaan akan datang ini bukan saja menjadi ujian terhadap disiplin PH, tetapi juga keupayaan mereka untuk meyakinkan pembangkang semasa menangani isu-isu rentas parti.

Pembangkang masih berahsia

Tiga kumpulan utama pembangkang masih berdiam diri tentang pendirian mereka, tetapi Setiausaha Agung Umno Annuar Musa memberi bayangan bahawa Umno mahu bertindak secara kolektif bersama PAS dan GPS.

Tiga puluh tujuh daripada 40 kerusi BN di Dewan Rakyat adalah milik Umno.

Anggota Parlimen Ketereh itu berkata dia sedang “berbincang” dengan PAS dan GPS sebelum mengumumkan pendirian parti.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pemuda PAS yang baru dilantik Ahmad Fadhli Shaari, berkata PAS “secara prinsipnya bersetuju” dengan pindaan tersebut namun tidak mahu meletakkan apa-apa komitmen berhubung undian parti buat masa ini.

Ahmad Fadhli

“Kami mahu ia dijalankan dalam satu pakej, termasuk pendaftaran automatif dan juga tarikh pilihan raya yang ditetapkan lebih awal,” kata anggota parlimen Pasir Mas itu kepada Malaysiakini.

Katanya lagi, PAS akan membincangkan perkara itu malam ini dalam mesyuarat pramajlis mereka.

GPS juga tidak memberitahu pendiriannya apabila ketua whip parti itu, Fadillah Yusof, berkata hal itu hanya akan diputuskan selepas taklimat oleh kerajaan pusat.

“Kementerian akan beri taklimat pada 3 Julai, kami hanya akan buat keputusan selepas itu,” kata anggota parlimen Petra Jaya itu kepada Malaysiakini.

Jika BN, PAS dan GPS mengambil pendirian secara kolektif dan partisan, cubaan kedua PH untuk meminda Perlembagan Persekutuan ini hampir pasti akan menemui kegagalan.

Selain daripada tiga blok pembangkang ini, hanya ada enam lagi anggota parlimen pembangkang- satu dari Parti Sarawak Bersatu (PSB), tiga dari Gabungan Bersatu Sabah (GBS) dan dua wakil bebas.

Jika semua anggota parlimen PH hadir sekalipun - dengan mendapat sokongan daripada kesemua enam anggota parlimen berkenaan serta Yamani - PH masih kekurangan dua undi untuk mendapat sokongan dua per tiga Dewan Rakyat.

Dalam keadaan ini, satu-satunya harapan PH adalah supaya ada mana-mana anggota parlimen dari BN, PAS dan GPS menongkah arus untuk mengundi dan menyokong kerajaan.


Laporan tambahan oleh Lu Wei Hoong dan Zikri Kamarulzaman.

Lihat Komen