Pengiklanan

    Nancy: Rakyat Sarawak mahu Najib kembali jadi PM

    (Dikemaskini )

    Bekas perdana menteri Najib Razak kekal popular dalam kalangan rakyat Sarawak kerana sumbangannya terhadap pembangunan negeri itu, kata Ahli Parlimen Batang Sadong Nancy Shukri.

    Menggesa agar PH tidak mengenepikan Sarawak dalam rancangan pembangunan, Nancy berkata Najib meluangkan masa memahami keperluan rakyat negeri itu ketika menjadi perdana menteri.

    "Jika anda bercakap dengan orang Sarawak, mereka mahu Najib kembali (sebagai perdana menteri) kerana beliau melawat semua kawasan pedalaman.

    "Saya tidak cuba mempromosi beliau, tapi beliau tahu apa yang rakyat Sarawak perlukan.

    "Beliau mengunjungi Sarawak lebih 60 kali dan cuba memudahkan hidup kami," kata bekas menteri BN itu ketika hadir sebagai panelis forum Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) di Kuala Lumpur hari ini.

    Antara lain, kata Nancy, pentadbiran BN meluluskan pelbagai projek infrastruktur skala kecil di bawah Belanjawan 2018, namun ia dibatalkan selepas PH mengambil alih kerajaan pada 9 Mei tahun lalu.

    "Kami sangat bimbang dengan pembaharuan ekonomi.

    "Apa-apa yang kami minta sangat kritikal dan diperlukan," katanya sambil mempersoalkan cadangan projek mega seperti pembinaan lapangan terbang antarabangsa di Kedah.

    Tambah Nancy, rakyat Sarawak masih beruntung kerana mempunyai RM31 bilion rizab negeri meskipun menurutnya kerajaan pusat perlu membantu kerajaan negeri dalam membangunkan negeri itu.

    Menyentuh soal kegagalan mengembalikan status Sabah dan Sarawak sebagai rakan sekutu yang setaraf, Nancy menjelaskan bahawa ahli parlimen Sarawak yang tidak mengundi di parlimen berbuat demikian selepas permintaan mereka untuk penangguhan pembentangan Rang Undang-Undang itu bagi ditolak.

    "Saya mahu anda semua tahu apa yang kami buat. Kami bukan semata-mata menolak Rang Undang-Undang itu.

    "Jika ingin pinda, jangan buat tergesa-gesa. Anda perlu lakukan sebagai satu pakej," katanya dan menambah bahawa beberapa pindaan lain diperlukan selain Artikel 1(2) Perlembagaan Persekutuan.

    Nancy turut mendakwa pindaan Rang Undang-Undang itu tergesa-gesa kerana merupakan salah satu janji 100 hari PH.

    "Mereka kata tak boleh tangguh (pembentangan), tapi ini bukan soal berapa hari berjanji, tapi tentang undang-undang dan bagaimana ia dapat memanfaatkan rakyat Sarawak," katanya.

    Sesebuah pindaan Perlembagaan Persekutuan memerlukan dua per tiga sokongan majoriti dalam parlimen.

    PH ketika itu kurang 10 undi untuk meluluskan Rang Undang-undang berkenaan di peringkat dasar.

    Seramai 138 daripada 222 ahli parlimen menyokong Rang Undang-undang berkenaan sementara 59 berkecuali pada 9 April lalu.

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih