malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Singapura terburu-buru mahu gantung adik saya?'
ADS

LAPORAN KHAS | P Sangkari sedang membeli barangan dapur ketika mendapat panggilan telefon daripada Jabatan Penjara Singapura.

Selepas dimaklumkan dia ada kiriman, Sangkari bergegas pulang rumah.

Sebaik tiba di rumah, Sangkari mendapati kiriman itu adalah dua surat tentang adiknya P Pannir Selvam yang berada di Penjara Changi, sedang menunggu hukuman mati.

Salah satu surat menyatakan bahawa petisyen rayuan adiknya telah ditolak oleh Presiden Halimah Yacob. Surat yang satu lagi pula mengandungi notis memaklumkan adiknya akan digantung dalam tempoh seminggu - pada 24 Mei.

Keluarga Sangkari diminta membuat persiapan untuk pengebumian.

Tangan Sangkari menggeletar membaca setiap perkataan dalam surat itu. Kemudian dia keliru apabila mendapati kedua-dua surat itu bertarikh 17 Mei, hari sama surat itu tiba di peti suratnya.

Tarikh pada bungkusan surat-surat itu menyatakan ia dikirim sehari sebelumnya, 16 Mei.

Adakah tarikh yang dinyatakan pada surat itu ditulis lebih awal? Kenapa dikirim bersama? Kenapa keluarganya hanya diberi notis seminggu sebelum hukuman? Adakah ini prosedur biasa? Semua persoalan ini bermain di dalam kepala Sangkari.

"Seakan-akan mereka terburu-buru untuk menggantung seseorang, dan orang itu kebetulan adalah Pannir.

"Adakah mereka terburu-buru untuk menggantung seseorang kerana mereka tidak mahu mensia-siakan hari Jumaat? Hukuman gantung biasanya dijalankan pada hari Jumaat.

"Kami tidak mempunyai masa yang cukup untuk mendapatkan nasihat peguam untuk mencabar keputusan rayuan atau bertanya jika ada jalan lain," katanya ketika diwawancara di Petaling Jaya baru-baru ini.

Penjara Changi kemudian memaklumkan Sangkari bahawa semua itu adalah prosedur biasa, namun mereka tidak boleh memberikan sebarang bukti bertulis menyatakan demikian.

Tiada proses tetap dalam penolakan rayuan atau pemakluman hukuman di bawah undang-undang Singapura.

Ditahan kerana bawa heroin

Menurut statistik terkini yang dikongsi Wisma Putra dengan Malaysiakini, Pannir merupakan salah satu daripada 14 rakyat Malaysia dalam senarai hukuman mati di Singapura. Kesemuanya atas kesalahan mengedar dadah.

Pada 2014, Pannir yang ketika itu berumur 27 tahun bekerja sebagai pengawal keselamatan di Singapura ketika dia ditahan di Woodlands Checkpoint kerana membawa 51.84gm heroin.

Dia disabitkan kesalahan dan dihukum tiga tahun kemudian.

Pannir membuat rayuan, dan berulang kali menyatakan bahawa dia diperdaya untuk membawa barang larangan itu dan sekadar menjadi keldai dadah. Namun rayuan itu tidak berhasil.

Sangkari berkata pada ketika itu, keluarganya sudah membelanjakan kira-kira SG$10,000 (RM30,000) untuk bayaran bagi proses perundangan.

Bagaimanapun, apabila rayuan Pannir ditolak, mereka memikirkan sendiri apa yang harus dilakukan kerana Pannir tidak mempunyai peguam.

Sepuluh minit sebelum pendengaran penolakan rayuan Pannir pada 23 Mei, sehari sebelum dia dijadualkan digantung, dua peguam memperkenalkan diri kepada keluarga Sangkari dan penasihat mereka, N Surendran di luar mahkamah.

Kedua-dua peguam itu Too Xing Ji dan Lee Ji En mendapat tahu tentang kes berkenaan daripada rakan mereka dan memutuskan untuk menawarkan bantuan pro bono (tanpa bayaran).

Mereka berhujah bahawa notis tujuh hari diberikan kepada Pannir tidak cukup untuknya mendapatkan nasihat guaman, dan Mahkamah Rayuan Singapura membenarkan penangguhan.

"Kerana situasi yang kami hadapi, kami bersedia untuk yang terburuk.

"Mereka (peguam) tiba-tiba muncul, saya seakan rasa mereka dihantar oleh Tuhan.

"Saya sangat terhutang budi kepada mereka. Mereka hadir ketika kami sangat memerlukan bantuan," kata Sangkari ketika menyatakan reaksi keluarganya terhadap keputusan Mahkamah Rayuan itu.

Setelah itu, peguam memfailkan semakan kehakiman terhadap proses penolakan rayuan. Mereka kini menunggu tarikh perbicaraan.

Kumpulan NGO Lawyers For Liberty turut memberikan bantuan guaman kepada keluarga Pannir di Malaysia.

Bagi ahli keluarga Pannir, kehidupan mereka sejak lima tahun lalu adalah tentang Pannir.

Sangkari, yang bekerja sepenuh masa, menghabiskan kebanyakan hujung minggunya berulang-alik dari Kuala Lumpur ke Penjara Changi. Adik lelakinya paling sulung dapat kerja di Singapura dan membolehkannya lebih kerap mengunjungi Pannir.

Seorang lagi adiknya menangguhkan pembelajaran di universiti untuk menumpukan kepada kes Pannir. Adik perempuan bongsunya baru-baru ini berhenti kerja untuk menubuhkan laman web tentang Pannir.

Pada 2018, mereka mendapat tahu bahawa hukuman mati Pannir boleh diubah kepada penjara seumur hidu sekiranya Pannir memberikan maklumat yang cukup tentang aktiviti pengedaran dadah kepada Biro Narkotik Pusat Singapura untuk mendapatkan Sijil Bantuan Substantif.

Dengan sedikit apa yang Pannir ingat, Sangkari mengumpul beberapa ahli keluarganya untuk membantu kes berkenaan.

Mereka mengunjungi kawasan di Johor Bahru yang didakwa Pannir merupakan tempatnya berjumpa dengan individu yang meyakinkannya untuk membawa "ubat seks", yang kemudian terbukti adalah heroin, ke Singapura.

Selepas beberapa petunjuk yang salah, mereka akhirnya mendapat perincian - nama penuh, nombor kad pengenalan, nombor pendaftaran kereta, malah gambar individu yang didakwa sebagai dalang.

Sangkari menyerahkan maklumat itu kepada adiknya untuk diserahkan kepada pihak berkuasa Singapura.

Biro Singapura kemudian memaklumkan bahawa Pannir gagal mendapatkan Sijil Bantuan Substantif.

"Mereka cuma kata 'maaf, permohonan anda ditolak', lebih kurang seperti itu, dalam sebaris ayat.

"Adakah maklumat itu tidak cukup? Jika tidak cukup, maklumat apa lagi yang mereka perlukan?

"Tak ada senarai maklumat yang diperlukan. Kami tak tahu apa yang mereka perlukan. Mungkin kami tidak dapat apa yang mereka perlukan, tapi macam mana mahu dapat kalau kami tak tahu apa yang diperlukan?" kata Sangkari.

Selain mencabar proses penolakan rayuan, peguam Pannir juga membantah kegagalannya diberikan Sijil Bantuan Substantif melalui semakan kehakiman.

Dibesarkan di Ipoh sebagai anak paderi Kristian, Sangkari berkata Pannir seorang yang aktif dalam sukan dan sering memainkan drum di gereja.

Peluang kedua

Sebagai remaja yang memberontak, dia pergi ke Singapura setelah habis sekolah menengah untuk mencari pekerjaan.

Hidup jauh dari rumah, Sangkari berkata adiknya bekerja keras tetapi mula berjudi.

Sangkari percaya Pannir bersetuju untuk membawa "ubat seks" untuk dalang yang dikatakan itu walaupun hanya mengetahui dia selama tiga minggu kerana ingin mendapatkan persahabatan.

Kini, dia menyifatkan adiknya, yang sudah berumur 31 tahun, sebagai seorang lelaki yang sudah berubah dan sedang dalam misi untuk memberi amaran kepada belia Malaysia supaya menjauhi dadah.

 

Lebih khusus lagi, Pannir ingin meningkatkan kesedaran tentang bagaimana dalang dadah bekerja agar orang ramai tidak akan berakhir sebagai keldai dadah.

Bagi Sangkari, menghukum keldai dadah seperti Pannir tidak memberi kesan kepada rangkaian dadah.

"Menggantung keldai dadah tidak akan menghentikan jenayah itu ... jika mereka benar-benar ingin menyingkirkan dadah ini, mereka harus mencari punca sebenar dan cuba menangkap dalang.

"Mungkin kerajaan Singapura masih boleh menghukum Pannir tetapi tidak dengan menggantungnya.

"Ya dia membuat kesilapan, tetapi dia tidak sepatutnya membayar dengan nyawanya untuk itu," katanya.


Wawancara ini dijalankan secara bersama dengan The Malay Mail.

Lihat Komen