malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Makin kencang bincang soal agama dan bangsa di era PH
ADS

LAPORAN KHAS | Menurut analisis data oleh Malaysiakini, isu kaum, agama dan raja semakin kerap dibincangkan bawah pemerintahan Pakatan Harapan (PH).

Analisis terhadap hansard Parlimen menemukan bahawa kata kunci berkaitan kaum, agama dan raja digunakan 88 peratus lebih kerap di perdebatan Dewan Rakyat dalam tahun pertama pemerintahan PH, berbanding tahun sebelum itu.

Kata kunci berkaitan isu agama-bangsa-raja disebut 8,087 kali di Dewan Rakyat semasa sesi Parlimen dalam tahun pertama pemerintahan PH, berbanding 4,292 tahun sebelumnya- meningkat hampir dua kali ganda.

 

Memandangkan perdebatan di Dewan Rakyat diperhatikan secara dekat dan dilaporkan oleh media, penggunaan kata kunci itu turut meningkat dalam laporan berita Malaysiakini dalam tempoh masa tersebut, untuk kedua-dua halaman Bahasa Melayu dan Inggeris.

Untuk halaman Bahasa Melayu, peningkatan yang direkodkan ialah sebanyak 36.6 peratus, manakala untuk halaman Bahasa Inggeris pula, meningkat sebanyak 11.8 peratus.

Kata-kata kunci tersebut ialah seperti di bawah: agama, Islam, kaum, Melayu, bukan Melayu, Agong, sultan, UEC, Artikel 153, Status Rom dan Icerd.

Terjemahan Bahasa Melayu untuk kata-kata kunci di atas digunakan (ketika perlu) untuk analisis hansard dan artikel berita berbahasa Melayu.

Meningkat dua kali ganda

Daripada semua kata kunci tersebut, kata kunci berkaitan agama paling banyak disebut berdasarkan hansard dan halaman Malaysiakini, baik sebelum mahupun selepas pilihan raya umum (PRU) ke-14.

Contohnya, setahun sebelum PRU14, perkataan “agama” dan “Islam” digunakan sebanyak 2,493 kali di Dewan Rakyat, manakala dalam tahun pertama pemerintahan PH, penggunaannya meningkat menjadi 3,627 kali - peningkatan sebanyak 45 peratus.

Bagaimanapun, kata kunci berkaitan bangsa dan raja meningkat lebih dua kali ganda dalam tempoh masa tersebut.

Kata kunci berhubung bangsa - “Melayu”, “bangsa” - digunakan 134 peratus lebih kerap berbanding setahun sebelumnya, manakala kata kunci berkaitan raja- “raja”, “sultan”, “Agong” - digunakan 168 peratus lebih kerap.

Surat khabar juga menunjukkan trend serupa

Analisis serupa turut dilakukan terhadap surat khabar versi bercetak Utusan Malaysia, Sin Chew Jit Poh dan The Star. (Terjemahan Cina digunakan untuk analisis terhadap Sin Chew).

Kerana beberapa kekangan untuk memperolehi data, analisis untuk surat khabar hanya dijalankan untuk 11 bulan pertama pemerintahan PH.

Dalam kata lain, perbandingan data sebelum dan selepas PRU tidak dapat dilakukan.

 

Bagaimanapun, jika dibandingkan dengan data daripada halaman Bahasa Melayu dan Inggeris Malaysiakini, surat khabar bercetak juga menunjukkan trend hampir serupa bagi 11 bulan tersebut.

Ini memberi gambaran bahawa seperti Malaysiakini, surat khabar juga mungkin turut mengalami peningkatan terhadap penggunaan kata kunci berkaitan agama, bangsa dan raja selepas PH berkuasa.

Peningkatan berkait peristiwa-peristiwa penting

Sekiranya dilihat secara lebih mendalam, peningkatan penggunaan kata kunci ini berlaku semasa beberapa peristiwa berlaku.

Contohnya, penggunaan kata kunci ini meningkat dengan ketara dalam laporan berita Malaysiakini yang disiarkan sekitar sebelum berlangsungnya PRU-14 pada Mei 2018.

 

Peningkatan turut didapati berlaku untuk peristiwa-peristiwa lain, seperti pemilihan Umno pada Julai 2018, perhimpunan agung tahunan Bersatu pada Januari 2019 dan ketika kerajaan berdepan tekanan umum berhubung ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd) pada November 2018.

Bersatu dan Umno kedua-duanya merupakan parti Melayu, sementara Icerd ditentang kumpulan Melayu berhaluan kanan dan konservatif, yang percaya bahawa Icerd akan menggugat kedudukan dan hak istimewa orang Melayu.

Hansard menunjukkan bahawa sejurus PRU-14, topik agama, bangsa dan raja didebatkan dengan kencang dalam sidang pertama Parlimen pada Julai 2018.

Kata kunci berkaitan topik agama-bangsa-raja ini digunakan hampir empat kali ganda lebih kerap berbanding ketika sidang yang berlangsung pada Julai 2017.

Kerjasama Umno-PAS

Lebih signifikan, kata kunci agama-bangsa-raja ini didapati paling paling banyak digunakan di Parlimen pada Mac-April 2019-- masa yang sama Umno dan PAS mengumumkan kerjasama politik mereka.

Meniliti beratus-ratus muka surat hansard, anggota Parlimen pembangkang didapati berulang kali menyalahkan PH kerana gagal menjaga kedudukan Melayu dan Islam, terutamanya ketika membahaskan ucapan Yang di-Pertuan Agong (YDPA).

Ketika bertitah semasa pembukaan Parlimen, YDPA menggesa perpaduan disuburkan dan tidak tinggal slogan semata-mata, selain menggesa tindakan tegas terhadap pihak yang menjejaskan perpaduan.

Baginda turut bertitah supaya “kedudukan Islam sebagai agama persekutuan perlu difahami sedalam-dalamnya oleh setiap warganegara tanpa mengira bangsa dan agama”.

Sementara agama lain pula perlu dihormati demi keharmonian dan kesejahteraan hidup rakyat selain bagi menjadikan Malaysia model negara Islam berbilang kaum yang boleh dicontohi dunia luar.

Anggota-anggota Parlimen menggunakan titah baginda YDPA ini untuk menyerang PH semasa membahaskan ucapan baginda, antaranya ketua pembangkang Ismail Sabri yang banyak menggunakan perkataan “agama” dan “Islam” dalam ucapan perbahasannya.

Dalam ucapannya, beliau menegaskan provokasi dilakukan terhadap orang Islam dan agama Islam sendiri difitnah, sementara PH pula “lemah” dalam memelihara kesucian Islam.

Anggota Parlimen lain daripada PAS dan Umno juga dilaporkan mengecam kerajaan PH atas hal serupa, dengan mengambil contoh kehadiran aktivis hak asasi manusia yang pro-LGBT di Perarakan Hari Wanita di Kuala Lumpur.

Naratif yang diada-adakan?

Ketika dihubungi penganalisis politik Jeniri Amir, berkata beliau percaya hasil analisis tersebut menggambarkan strategi PAS dan Umno bagi mengada-adakan isu ketidakpuasan hati di kalangan pengundi Melayu.

“Ini ada kaitan dengan usaha pembangkang PAS dan Umno untuk menggembleng naratif persepsi umum di kalangan Melayu untuk menampakkan PH tidak peduli atau meremehkan hal-hal berkaitan Melayu, agama Islam dan raja.

“Isu ini dekat dengan masyarakat Melayu dan jika memberi gambaran PH tak ambil peduli isu-isu berkenaan, maka ini mewujudkan persepi buruk terhadap PH dan sebaliknya menguntungkan Umno dan PAS ketika mereka berusaha untuk bekerjasama,” katanya.

PRU14 jadi pemangkin

Penganalisis politik dari Sunway University Wong Chin Huat pula bersetuju bahawa serangan demi serangan dalam isu agama-bangsa-raja ini sengaja diada-adakan supaya penyokong pembangkang dan Melayu moderat berasa terancam lalu memberi sokongan teguh kepada Umno dan PAS.

Dalam satu segi, katanya, serangan ini merupakan babak kedua selepas PRU14.

Daripada 117 kawasan parlimen yang mempunyai majoriti pengundi Melayu ketika PRU14, 73 daripadanya dimenangi sama ada oleh BN atau PH, dengan perbezaan kurang daripada separuh undi.

Ini menjadikan kawasan Melayu sebagai medan perang sebenar yang mampu menentukan kemenangan dalam PRU akan datang.

 

Pada masa sama, di 30 kawasan di semenanjung Malaysia, gabungan undi BN dan PAS menghasilkan jumlah undi yang lebih tinggi daripada undi yang dimenangi oleh PH.

Kata Wong, ini bererti, meskipun tanpa peralihan undi untuk PRU15, kerjasama Umno-PAS mampu memberi mereka 30 kerusi baru, jika mereka berjaya meyakinkan pengundi masing-masing untuk mengundi calon Umno atau PAS.

Bagaimanapun, walaupun kerjasama Umno-PAS merupakan usaha yang mampu membuahkan hasil, ia sukar untuk diterima oleh penyokong tegar parti-parti tersebut memandangkan sejarah permusuhan panjang antara keduanya.

“Untuk mempertahankan (kerjasama), mereka perlukan musuh. Penyokong tegar mereka dan Melayu atas pagar perlu berasa terancam untuk memberi sokongan penuh terhadap pakatan baru Umno-PAS ini,” kata Wong lagi.

Ulas Wong lagi, perkara itu dapat dilihat apabila isu Statut Rom dimainkan dengan sentimen etnik sebagai mengancam kedudukan raja-raja Melayu, sedangkan kerajaan BN sebelum ini juga berniat menandatangani statut tersebut.

Pada Mac, kerajaan tunduk pada tekanan awam dan menarik diri daripada statut itu yang menetapkan bidang kuasa, fungsi dan struktur Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

‘Jalan bahaya’

Jeniri percaya ia (isu Melayu) merupakan perkara paling penting buat masa ini, memandangkan kedua-dua sisi politik cuba membuktikan bahawa merekalah yang menjuarai isu-isu Melayu.

“Ini regresif, berundur ke belakang, walhal politik yang matang bawah Malaysia Baru harus melangkaui isu-isu berkenaan dan harus bincang soal membina negara bangsa, isu sosial, ekonomi, soal bagaimana kita menyatukan kaum.

“Ia juga berbahaya kerana ia bukan sahaja semakin memecah-belahkan rakyat, tetapi juga menyemarakkan sentimen perkauman.

“Dua-dua pihak, PH atau Umno-PAS terutamanya harus bersikap lebih bertanggungjawab. Kalau asyik main sentimen isu-isu ini, ya, untung politik tapi masa depan negara tidak banyak sumbangan.

“Dan (perlu) rakyat jangan mudah terpedaya dan terperangkap dengan permainan dan manipulasi isu-isu ini,” tambahnya lagi.

Lihat Komen