malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
K'jaan mahu jadikan ketagihan dadah bukan lagi jenayah
Diterbitkan:  Jun 27, 2019 11:49 PM
Dikemaskini: 4:20 PM
ADS

Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad hari ini mengumumkan kerajaan merancang untuk menjadikan isu pemilikan dan penggunaan dadah sebagai bukan lagi kesalahan jenayah.

Menggelarkan langkah itu sebagai "dasar pembawa perubahan (gamechanger) yang penting", beliau menegaskan ia tidak sepatutnya dianggap sebagai cubaan untuk melegalisasikan penggunaan dadah.

"Dekriminalisasi adalah penghapusan hukuman jenayah kerana memiliki dan menggunakan dadah dengan kuantiti kecil untuk kegunaan peribadi, berbanding mereka yang terlibat dalam mengedar dadah. 

"Pengedaran dadah pastinya kekal sebagai kesalahan jenayah," kata Dzulkefly dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Dzulkfely, isu penggunaan dan ketagihan dadah perlu dilihat dari aspek perubatan.

"Terdapat banyak faktor yang menyebabkan seseorang menggunakan dadah dan ketagih- mungkin terdapat kecenderungan genetik, keadaan persekitaran seperti kemiskinan, perpecahan keluarga, tekanan di sekolah dan rakan sebaya boleh menyebabkan seseorang mula menggunakan dadah.

"Sudah tentu meletakkan mereka di dalam penjara tidak akan mengubahnya. Ia bukan semata-mata tentang soal seseorang itu memiliki tekad yang lemah," jelasnya.

Katanya, penggunaan dadah perlu dirawat melalui kaedah sains dan perubatan sebelum menggunakan pendekatan menghukum dan penahanan.

"Penagih akan dirawat sebagai pesakit (bukan sebagai penjenayah), yang mana ketagihan adalah penyakit yang kita ingin sembuhkan," katanya.

Dzulkefly menambah lebih 30 buah negara di seluruh dunia telah memulakan langkah untuk dekriminalisasi dadah.

Beliau juga merujuk kepada hasil penyelidikan yang menunjukkan langkah itu tidak meningkatkan penggunaan dadah atau jenayah berkaitan dengannya.

Sebaliknya, beliau berkata penyelidikan mendapati dasar itu dapat mengurangkan kos dalam sistem keadilan jenayah dan memperbaiki sosial masyarakat.

Lihat Komen