malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Bersih: PM abai janji manifesto pelantikan anggota Suhakam
Diterbitkan:  Jun 27, 2019 5:52 PM
Dikemaskini: 9:52 AM
ADS

Badan pemantau pilihan raya, Bersih melahirkan rasa kecewa di atas pelantikan lapan anggota baru Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam).

Ini selepas pelantikan itu dibuat tanpa tapisan terlebih dahulu oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) mengenai pelantikan jawatan utama perkhidmatan awam.

Bersih berkata walaupun pelantikan itu dibuat mengikut Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia 1999, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengabaikan janji manifesto Pakatan Harapan (PH) bahawa proses itu perlu dilakukan melalui jawatankuasa parlimen.

Katanya, PSC dibentuk sejak Disember 2018 bagi memilih calon berpotensi dalam perkhidmatan awam walaupun proses itu tidak dinyatakan dalam Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 (Akta 597).

"Sebarang proses (tapisan) akan menunjukkan komitmen perdana menteri bukan sahaja dalam melaksanakan janji-janji manifesto tetapi juga menghormati peranan parlimen sebagai semak dan imbang yang berkesan kepada eksekutif, terutama Pejabat Perdana Menteri," katanya dalam satu kenyataan.

Bersih turut menggesa perdana menteri dan kerajaan mempercepatkan pindaan undang-undang dalam proses pelantikan jawatan utama dalam perkhidmatan awam.

"Ini supaya kuasa tidak terkawal seperti yang kini berada tangan perdana menteri boleh disemak secara berkesan untuk mengelakkan penyalahgunaan kuasa," katanya.

Dalam menggesa proses yang lebih telus, Bersih berkata Seksyen 5 (2) Akta Suhakam perlu dipinda untuk memastikan Jawatankuasa Pemilihan mengeluarkan senarai nama calon bagi mendapat maklum balas.

Seksyen 5 (2) Akta Suhakam menyatakan anggota suruhanjaya hendaklah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong atas syor Perdana Menteri yang hendaklah, sebelum memberikan nasihatnya, berunding dengan jawatankuasa yang disebut dalam seksyen 11A.

Seksyen 11A memperuntukkan penubuhan Jawatankuasa Pemilihan yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara.

Manakala anggota-anggotanya terdiri daripada Pengerusi Suhakam, dan tiga yang lain yang memiliki pengetahuan atau pengalaman dalam perkara hak asasi manusia.

"Orang boleh berbuat silap dan oleh itu kita perlu institusi bebas untuk memastikan mereka bertanggungjawab," kata Bersih yang mendesak proses pelantikan lebih telus.

Semalam Pejabat Perdana Menteri mengumumkan tiga anggota baru dilantik menyertai Suhakam, yang akan diketuai oleh bekas pegawai kanan kerajaan, Othman Hashim.

Dua lagi muka baru itu adalah bekas Hakim Mahkamah Rayuan Mohd Hishamudin Md Yunus dan tokoh akademik Madeline Berma. 

Pelantikan mereka berkuat kuasa pada 27 April 2019.

Lihat Komen