malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Zahid hadapi 33 tuduhan terima rasuah RM42.7j dari Ultra Kirana
ADS

Bekas timbalan perdana menteri Zahid Hamidi menghadapi 33 pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM42.7 juta daripada Ultra Kirana Sdn Bhd di Mahkamah Sesyen Shah Alam pagi ini.

Semalam, Zahid telah dikenakan tujuh pertuduhan menerima rasuah.

Presiden Umno yang sedang bercuti itu meminta dibicarakan setelah pertuduhan dibaca di hadapan hakim Rozillah Salleh.

Di galeri awam kelihatan rakan-rakan partinya, termasuklah Anggota Majlis Tertingi (MT) Umno Lokman Noor Adam.

Zahid didakwa menerima sogokan daripada syarikat itu di Country Heights, Kajang, antara 2014 dan 2017.

Dalam 26 pertuduhan di bawah Seksyen 16 (a) (B) Akta SPRM 2009, Zahid dituduh menerima wang daripada Ultra Kirana sebagai dorongan baginya untuk melanjutkan kontrak syarikat itu dengan Kementerian Dalam Negeri untuk menjalankan sistem visa luar negara melalui Pusat Sehenti (OSC) di China dan Sistem Visa Dalam Talian (VLN).

Seksyen 16 (a) (B) Akta SPRM menjenayahkan perbuatan rasuah yang meminta, menerima atau bersetuju menerima suapan sebagai dorongan atau ganjaran dalam hubungannya dengan seorang pegawai badan awam untuk melakukan sesuatu yang berkaitan dengan badan tersebut.

Jika didapati bersalah di bawah Seksyen 24 (1) Akta SPRM, Zahid boleh dipenjarakan sehingga 20 tahun, dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan yang terlibat dalam kesalahan itu, atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.

Zahid juga mohon dibicarakan terhadap tujuh pertuduhan lagi di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang menjadikan suatu kesalahan bagi pemegang jawatan awam untuk menerima, mendapatkan atau bersetuju untuk mendapatkan apa-apa perkara berharga tanpa pertimbangan yang tidak mencukupi, daripada orang yang berkenaan dengan fungsi rasmi penjawat awam tersebut.

Peruntukan tersebut menyatakan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga dua tahun, denda, atau kedua-duanya sekali.

Jurubahasa mahkamah mengambil masa setengah jam dari 9.15 pagi untuk membaca semua pertuduhan di dalam bahasa Malaysia kepada Zahid.

Bekas timbalan perdana menteri pada setiap kali bacaan pertuduhan, menjawab dengan tenang beliau memahaminya dan memohon dibicarakan mahkamah bai setiap pertuduhan.

Hakim Mahkamah Sesyen Rozilah Salleh menetapkan ikat jamin sebanyak RM500,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah juga menetapkan tarikh 29 Julai untu sebutan kes.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen