malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Ezam: Pelantikan pengerusi baru Felda langkah ke belakang
Diterbitkan:  Jun 26, 2019 10:34 PM
Dikemaskini: 2:36 PM
ADS

Mohamad Ezam Mohd Nor menyifatkan pelantikan Bakke Salleh sebagai pengerusi baru Felda sebagai "keputusan songsang" dan langkah ke belakang.

Presiden Parti Negara itu berkata, Bakke ialah warisan pentadbiran BN dan banyak memegang jawatan melalui lantikan langsung oleh kerajaan ketika itu.

"Ia sama sekali tidak mencerminkan kerajaan baru yang memberi ruang kepada tokoh yang mampu membawa nafas baru kepada imej pentadbiran.

"Apakah negara ini tiada tokoh korporat lain yang benar-benar bersih dari sebarang kaitan dengan pentadbiran lalu?" soalnya dalam kenyataan.

Pelantikan Bakke diumumkan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi hari ini bagi menggantikan Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor yang meletakkan jawatan itu berkuatkuasa 30 Jun ini.

Bakke pernah menjadi pengarah 1MDB sebelum meletakkan jawatan pada Julai 2015 atas sebab tidak berpuas hati dengan pengurusan syarikat itu.

Selain Felda, Bakke juga dilantik sebagai pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) berkuatkuasa 31 Julai 2018.

Dalam kenyataan itu, Ezam mengingatkan bahawa beliau pernah menyaman seluruh anggota lembaga pengarah 1MDB termasuk Bakke pada 2016 dan menyuarakan bantahan terhadap pelantikan Bakke dalam MPOB tahun lalu.

Ezam turut menyanggah kenyataan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi bahawa Bakke ialah tokoh korporat yng berintegriti.

"Laporan PAC (Jawatankuasa Kira-kira Awam Negara) tidak menunjukkan sikap integriti yang utuh dari beliau kerana hanya dilaporkan tidak setuju dengan perjalanan 1MDB semasa mengetuainya.

"Sikap integriti yang utuh harus dipamerkan dengan mengambil tindakan lebih bertanggungjawab dan serius seperti mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan pada masa itu," katanya lagi.

Lihat Komen