malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Siasatan kes Beng Hock ikut arahan Peguam Negara
ADS

Tindakan polis menyiasat kematian Teoh Beng Hock mengikut Seksyen 342 Kanun Keseksaan adalah berdasarkan arahan daripada Jabatan Peguam Negara.

Timbalan Ketua Polis Negara Mazlan Masor berkata pihaknya tidak dapat memberi kenyataan lebih lanjut mengapa kes berkenaan tidak disiasat mengikut seksyen 304 kanun yang sama.

Seksyen 342 ialah kesalahan berkaitan mengurung seseorang secara salah dan memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun, atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.

Seksyen 302 pula ialah kesalahan bagi membunuh, dan undang-undang negara ini menetapkan pesalah dikenakan hukuman mati.

"Saya tidak boleh memberi komen mengenai apa yang diputuskan oleh pihak pendakwaan.

"kami menjalankan siasatan berdasarkan apa yang diputuskan oleh mereka," katanya kepada media di Kuala Lumpur hari ini.

Semalam pertubuhan Teoh Beng Hock Trust For Democracy mendedahkan polis membuka semua siasatan mengenai kematian bekas pembantu politik Adun Selangor itu mengikut Seksyen 342.

Pengerusinya Ng Geok Chee berkata ia bertentangan dengan penghakiman Mahkamah Rayuan pada 2014 yang memutuskan seorang atau lebih individu tidak dikenali - termasuk kakitangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) - terlibat dalam kematian Teoh.

"Ini sangat bertentangan dengan cadangan kami dan Badan Peguam Malaysia supaya kakitangan SPRM yang terlibat mesti didakwa mengikut Seksyen 304 dan selepas disabitkan kesalahan pelakunya boleh dipenjara sehingga 30 tahun dan didenda tanpa had.

"Polis perlu menyiasat sama ada kakitangan SPRM yang menyebabkan kematian Teoh dan bukan mengelakkannya, serta tidak hanya menyiasat mengenai tanggungjawab prosedur mereka," katanya.

Teoh ditemui mati selepas jatuh dari tingkap sembilan bangunan yang menempatkan Ibu Pejabat SPRM Selangor di Shah Alam pada 16 Jul 2009.

Sebelum itu dia ditahan semalaman di situ untuk disoal siasat.

Ketika itu Teoh ialah pembantu politik kepada Adun Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen