malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Penagihan dadah: Rawatan - RM300 sebulan, tahanan RM3,500 sehari
ADS

Rawatan bagi penagihan dadah jauh lebih murah dan berkesan berbanding hukuman penjara yang diamalkan di negara ini, kata Ketua Jabatan Psikitarik, Fakulti Perubatan Universiti Mahsa, Profesor Dr Mohamad Hussain Habil.

Beliau berkata kerajaan pada masa ini membelanjakan RM3,500 sehari untuk seorang penagih dadah di pusat serenti mengikuti program pemulihan.

Namun, katanya, hampir 95 peratus daripada mereka kembali menggunakan dadah selepas keluar dari pusat pemulihan.

"Kaedah perubatan pula hanya memerlukan RM300 sebulan untuk rawatan dan peratusan yang menagih semula hanya lima peratus sahaja," katanya kepada Malaysiakini.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin bahawa penagih dadah di negara ini tidak lagi dilihat sebagai pesalah jenayah yang perlu dihukum sebaliknya pesakit yang memerlukan rawatan dan pemulihan.

Menurut Hussain, kaedah menghukum penagih dadah hanya menyebabkan kesan lebih buruk, terutamanya dari segi sosial seperti kesukaran mendapatkan pekerjaan setelah mereka keluar dari penjara.

Katanya, keadaan itu lebih buruk kerana rata-rata penagih dadah datang dari  keluarga berpendapatan rendah.

"Bila kena tangkap isterinya tak ada kerja, anak jadi geladangan hingga keluarga musnah.

"Jadi, saya percaya cara memenjarakan bukan kaedah yang betul. Sekiranya, penagih-penagih diberi peluang untuk mendapatkan perubatan mereka masih boleh kerja dan masih mampu menjaga keluarga.

"Dari segi perubatan, kajian secara saintifik membuktikan kaedah rawatan dapat mengurangkan jangkitan penyakit HIV dan AIDS," katanya.

Kerajaan boleh jimat ratusan juta Ringgit

Terdahulu, Muhyiddin berkata takrifan mengenai pengguna dadah tidak lagi dilihat sebagai pesalah jenayah dicapai susulan perbincangan antara Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Kesihatan.

Muhyiddin berkata pelaksanaan 'decriminalization' akan melibatkan program rawatan dalam komuniti dengan memperkasakan peranan ahli keluarga dan masyarakat.

Melalui program itu, KDN akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan dalam program terapi dadah gantian yang dijalankan oleh Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) di Tampoi dan Hospital Permai di Johor.

Menurut Muhyiddin, pada masa ini terdapat 70,000 tahanan di penjara Malaysia dengan sebahagian besar daripadanya adalah pengguna dadah.

"Dengan proses decriminalization, tahanan penjara yang dikategorikan sebagai penagih dadah akan diberi rawatan dan pemulihan,” katanya.

KDN juga sedang mengkaji untuk mengeluarkan Seksyen 6, 8 dan 9 Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) (APD) daripada didaftarkan di bawah Akta 7 (Akta Pendaftaran Penjenayah dan Orang Tidak Diingini 1969) bagi memberi peluang kedua kepada pengguna dadah yang telah pulih.

Sementara itu, Hussain yang bekas presiden Persatuan Pskiatrik dan Kesihatan Mental Asean turut menegaskan kerajaan kana dapat menjimatkan ratusan juta ringgit sekiranya kaedah rawatan diamalkan berbanding hukuman.

"Sejak tahun 1983, kerajaan telah membelanjakan RM380 juta untuk pusat pemulihan dan penjara. Namun, angka penagih dadah semakin meningkat.

"Jadi, masanya sudah sampai kepada kerajaan untuk mengkaji semula proses pemulihan penagih dadah," tambahnya.

Bagaimanapun, Hussain memberitahu proses pemulihan melalui rawatan perlu dijalankan melalui doktor yang diiktiraf oleh kerajaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen