malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Hakim tolak permohonan Rosmah untuk tak hadir pengurusan kes
ADS

Rosmah Mansor perlu hadir ke mahkamah untuk pengurusan kes berkenaan kes rasuah projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar untuk sekolah luar bandar di Sarawak melibatkannya.

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan peguam Rosmah untuk dibolehkan tidak menghadiri pengurusan kes itu pada 24 Julai ini.

Hakim Azura Alwi membuat keputusan itu selepas penghujahan peguam Akberdin Abdul Kadir, yang memohon mahkamah jika pengecualian boleh diberi kepada Rosmah pada tarikh itu.

Akberdin berkata pengurusan kes itu hanyalah soal formaliti.

"Jika mahkamah benarkan, kami ingin meminta agar anak guam saya diberi pengecualian daripada menghadiri pengurusan kes seterusnya.

"Tarikh itu hanya untuk (keputusan) pemindahan kes ke Mahkamah Tinggi. Ini soal formaliti dalaman (internal formality)," kata Akberdin.

Azura kemudian memberitahunya yang mahkamah memerlukan kehadiran Rosmah kerana ia melibatkan pemindahan kesnya ke peringkat mahkamah yang lebih tinggi.

Beliau berkata pertimbangan mungkin boleh diberi jika permohonan untuk pengurusan kes bagi pertukaran dokumen antara peguam, tetapi tidak apabila melibatkan pemindahan kes.

Sebelum itu, Azura memutuskan tarikh pengurusan kes seterusnya selepas peguam Rosmah dan Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Mohd Farizul Hassan Bakri memaklumkan permohonan pendakwaan untuk pemindahan kes hanya akan didengar di Mahkamah Tinggi Jumaat ini.

Hakim turut mengarahkan kedua-dua DPP dan pasukan pembelaan untuk hadir ke mahkamah Jumaat ini untuk sebutan kes dan memberi penerangan berkenaan permohonan pendengaran di Mahkamah Tinggi.

Beliau bagaimanapun berkata Rosmah dikecualikan daripada menghadiri sebutan kes tersebut.

Pada 10 April lalu, Rosmah - isteri kepada bekas perdana menteri Najib Razak - didakwa satu lagi pertuduhan rasuah melibatkan projek itu.

Beliau didakwa menerima RM5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Saidi Abang Samsudin, menerusi bekas pembantunya Rizal Mansor.

Beliau mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.

November lalu, beliau turut mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan meminta RM187.5 juta dan menerima RM1.5 juta bagi projek itu. 

Lihat Komen