malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Lynas setuju pindah operasi proses sisa radioaktif ke Australia
Diterbitkan:  Jun 24, 2019 4:17 PM
Dikemaskini: 9:13 AM
ADS

Lynas Malaysia berkata pihak mereka akan mematuhi gesaan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad untuk memindahkan operasi memproses sisa radioaktif di Australia.

Pengarah urusan dan naib presidennya, Mashal Ahmad berkata operasi itu akan dipindahkan ke kawasan berhampiran lombong nadir bumi Lynas di Australia dalam tempoh lima tahun.

"Kami dengar Dr Mahathir dan kami faham bahawa Malaysia mahu peringkat pertama pemprosesan dibuat sebelum bahan kami dihantar ke Malaysia untuk pemprosesan seterusnya.

"Peringkat pertama adalah di mana nadir bumi diasingkan dari bahan radioaktif tahap rendah yang ditemui bersama-sama.

"Kami komited untuk memindahkan operasi ini, ke Australi dalam tempoh lima tahun akan datang," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Ketika ini, bahan nadir bumi yang diekstrak Lynas dari lombonf mereka di Australia dihantar ke kilang di Gebeng, Pahang untuk diproses.

Di bawah cadangan baru itu, Lynas akan memproses terlebih dahulu bahan berkenaan di Australia sebelum menghantar ke kilang mereka di Malaysia agar sebarang sisa radioaktif tidak dibawa masuk ke dalam negara ini.

"Kami sudah mengenal pasti dua kawasan pemprosesan yang berpotensi yang berhampiran dengan lombong kami di Australia, dan kerajaan serta penduduk di sana tidak membantah.

"Apabila fasiliti baru itu beroperasi, bahan yang dihantar ke Malaysia untuk diproses tidak akan mengandungi bahan radioaktif semulajadi," katanya.

Tambah Mashal, ketika ini, satu per tiga kakitangan Lynas Malaysia terlibat dalam pemprosesan peringkat pertama berkenaan.

Dengan pemindahan pemprosesan itu ke Australia, Mashal berkata pihaknya akan berusaha untuk mewujudkan peluang pekerjaan di peringkat pemprosesan bawah.

"Pemindahan operasi ini akan menelan kos RM1.5 bilion, namun kami akan buat kerana kami komited kepada kakitangan kami dan kepada peranan Malaysia sebagai pusat nadir bumi yang cemerlang," katanya.

"Banyak pandangan bebas dan saintis paling kanan Malaysia mengesahkan bahawa operasi kami berisiko rendah dan mematuhi semua peraturan berkaitan.

"Namun, selama 12 bulan, ada kempen dengan maklumat yang tidak tepat diadakan oleh aktivis anti-Lynas.

"Ini sangat mengecewakan, namun kami tidak mahu rakyat Malaysia terlepas peluang memainkan peranan dalam pembekalan nadir bumi di peringkat global," katanya.

Mashal juga memaklumkan bahawa 97 peratus kakitangan Lynas Malaysia adalah rakyat Malaysia.

Meskipun cadangan terbaru itu dilihat dapat menyelesaikan pengumpulan sisa di kilang Lynas di Gebeng, sisa yang dikumpulkan ketika ini tetap menjadi isu.

Mashal berkata Lynas kini sedang bekerjasama dengan Putrajaya untuk menyelesaikan sisa sedia ada.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen