Pengiklanan

    Menteri : Sisa toksik di Sg Kim Kim belum lupus sepenuhnya

    (Dikemaskini )
    Shakira Buang  |  Berita

    Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Zuraida Kamaruddin percaya kejadian pencemaran udara yang berlaku sejak 20 Jun lalu di Pasir Gudang adalah rentetan daripada pembuangan sisa toksik di Sungai Kim Kim.

    Katanya, pihaknya dimaklumkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia bahawa sisa toksik yang dikeluarkan dari sungai berkenaan masih belum dilupuskan sepenuhnya.

    “Saya baru dapat maklumat daripada pasukan bomba di sana bahawa kes ini kes berulang dari kes di Sungai Kim Kim.

    “Saya difahamkan sisa toksik sebelum ini masih belum dihapuskan 100 peratus dan kita juga dapati sisa toksik terbabit agak terbiar di Pasir Gudang dan lepas itu disebabkan angin dan hujan kita percaya ia merebak kembali,” katanya.

    Zuraida berkata demikian mengulas perkembangan terkini kejadian pencemaran di Pasir Gudang.

    Mengulas lanjut, Zuraida meminta semua yang terlibat agar segera melakukan kerja-kerja pembersihan.

    “Kita kena pastikan bahawa kerja untuk membersihkan dan menghapuskan harus dilaksanakan secepat mungkin,” katanya.

    Pada Mac lalu, pencemaran udara akibat pembuangan sisa toksik ke Sungai Kim Kim menjejaskan hampir 6,000 penduduk termasuk pelajar sekolah sehingga 111 sekolah diarahkan ditutup sementara.

    Sebanyak 900 tan tanah tercemar bersama selut dan 1,500 tan air tercemar daripada dasar sungai berkenaan juga terpaksa dikumpul sebelum dilupuskan oleh kontraktor yang dilantik.

    Khamis lalu, seramai 15 murid Sekolah Agama Taman Mawar, kira-kira tujuh kilometer dari Sungai Kim Kim mengalami gejala sesak nafas dan muntah.

    Terbaru pagi ini, pelajar daripada lapan sekolah di Pasir Gudang dikejarkan ke hospital selepas mengadu mengalami gejala yang sama.

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih