malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
MP dakwa pencemaran gas di Pasir Gudang tak terkawal
Diterbitkan:  Jun 24, 2019 1:55 PM
Dikemaskini: 5:55 AM
ADS

Anggota Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim mahu kerajaan segera mengarahkan kilang-kilang kimia menghentikan operasi buat sementara waktu memandangkan kejadian pencemaran gas yang berlaku sejak 20 Jun lalu gagal dikawal secara berkesan.

Ia antara tujuh cadangan dikemukakan wakil rakyat itu bagi memastikan kerajaan dapat menangani isu pencemaran itu secara berkesan dan tuntas.

“Saya tidak mahu mendengar lagi janji-janji manis dari penimpin-pemimpin kerajaan negeri dan agensi agensi berkuasa yang memberi jawapan kosong kononnya keadaan terkawal dan selamat.

“Yang nyata keadaan sebenar tidak terkawal kini dan tidak selamat,” katanya.

 Hassan Abdul Karim

Beliau juga turut menggesa supaya sekolah-sekolah dalam kawasan terjejas ditutup sehingga keadaan kembali normal dan selamat.

"Keluarkan perintah supaya semua kilang-kilang kimia yang mengeluarkan gas supaya berhenti beroperasi sehingga keadaan penceraman tidak berlaku lagi dan kualiti udara terjamin.

"Kerajaan pusat (perlu) segera ambil alih dari kerajaan negeri Johor langkah menangani isu pencemaran udara ini yang berpunca dari kebocoran gas.

"Kerahkan semua pasukan pakar dari NADMA (Agensi Pengurusan Bencana Negara) dan lain-lain agensi serta universiti-universiti supaya membuat analisis dan pemantauan rapi kualiti udara dan mencari punca sebenar pencemaran gas ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 20 Jun lalu, seramai 15 murid Sekolah Agama Taman Mawar, kira-kira tujuh kilometer dari Sungai Kim Kim yang dicemari toksik Mac lalu, mengalami gejala sesak nafas dan muntah.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang, Ibrahim Omar, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.39 petang dan sebuah jentera dengan tiga anggota dihantar ke lokasi kejadian sebagai tindak balas pertama.

Ini adalah kejadian kedua melibatkan pencemaran udara di Pasir Gudang.

Pada 7 Mac lepas, hampir 6,000 penduduk di kawasan sama terjejas akibat pencemaran udara daripada pembuangan sisa toksik di Sungai Kim Kim.

Sementara itu, Hassan turut mendesak supaya jangan ada usaha pihak berkuasa yang cuba melindungi kilang-kilang atau syarikat yang telah melanggar undang-undang berkait dengan Kualiti Alam Sekitar.

"Saya tidak mahu mendengar lagi janji-janji manis dari penimpin-pemimpin kerajaan negeri dan agensi agensi berkuasa yang memberi jawapan kosong kononnya keadaan terkawal dan selamat.

"Yang nyata keadaan sebenar tidak terkawal kini dan tidak selamat," katanya lagi.

Tambahnya, selaku wakil rakyat kawasan itu beliau meminta kerajaan negeri Johor memantau dengan serius kes bencana pencemaran gas berkenaan yang mungkin lebih teruk daripada kes pencemaran di Sungai Kim Kim.

Lihat Komen