malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Mahathir: Saya takkan jadi PM lebih 3 tahun
Diterbitkan:  Jun 24, 2019 11:11 AM
Dikemaskini: 3:24 AM
ADS

Di tengah-tengah spekulasi mengenai rancangan peralihan kuasa, Dr Mahathir Mohamad mengulangi bahawa beliau akan menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Presiden PKR, Anwar Ibrahim dalam tempoh tiga tahun.

"Setakat yang saya tahu, saya telah berjanji bahawa saya akan berundur dan Anwar akan menggantikan saya," kata Perdana Menteri kepada wartawan CNBC, Tanvir Gill di Bangkok, Thailand ketika Sidang Kemuncak Asean.

Ditanya sama ada beliau akan berkhidmat hingga isu hutang negara diselesaikan, Mahathir berkata: "Tidak, saya tidak akan melampaui tiga tahun"

Sebaliknya, beliau berkata keutamaannya kini adalah untuk membolehkan Malaysia "menyelesaikan masalah ini (hutang)" walaupun selepas beliau bersara.

Persoalan bilakah Mahathir akan berundur dan siapa bakal penggantinya menjadi perhatian sejak beberapa minggu kebelakangan ini.

Pada ulang tahun pertama kerajaan Pakatan Harapan bulan lalu, Mahathir menegaskan beliau merupakan perdana menteri sementara tetapi berkata: "Saya tidak tahu sama ada tiga tahun atau dua tahun."

Tiada tempoh garis masa yang dipersetujui secara terbuka bagi peralihan kuasa itu menyaksikan gesaan yang kuat daripada penyokong Anwar agar Mahathir berundur.

Manakala penyokong Mahathir pula meminta beliau mempertimbangkan untuk kekal lebih lama memegang jawatan itu.

Anwar berkali-kali mengatakan beliau tiada keraguan bahawa Mahathir akan menyerahkan jawatan perdana menteri kepadanya.

Feb lalu Anwar berkata beliau menjangka akan memegang jawatan itu dalam tempoh dua tahun seperti yang dipersetujui sebelum ini.

Bagaimanapun, beliau menegaskan adalah penting perdana menteri diberikan ruang untuk menyelesaikan masalah dihadapi negara sebelum berundur.

Lihat Komen