malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Doa Nik Abduh kini untuk Umno menang semula
Diterbitkan:  Jun 24, 2019 10:55 AM
Dikemaskini: 3:26 AM
ADS

Anggota jawatankuasa PAS pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Aziz, berkata beliau kini mendoakan Umno supaya berubah dan kembali mencipta kemenangan.

Anak kepada bekas Mursyidul Am PAS itu menjelaskan doanya buat Umno kini berbeza berbanding sebelum ini yang sering mendoakan kekalahan dan kehancuran parti Melayu itu.

"Kini saya berdoa untuk Umno. Saya berdoa semoga Umno berubah dan menang kembali. Dulu sebaliknya. Dulu, saya berdoa dan aminkan doa agar Umno kalah dan hancur.

"Ada yang teragak-agak. Kata mereka, muafakat dengan Umno akan memberi nyawa kepada Umno. Bukankah itu melanggar doa sendiri?

"Saya berkata, Umno telah pun kalah. Tiada kekalahan sebesar kekalahan hilang kuasa di Putrajaya yang dikuasai Umno lebih 60 tahun," tulis anggota Parlimen Bachok itu di Facebooknya.

Tambahnya, kekalahan Umno pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lalu adalah penawar bagi PAS disebabkan 'doa ahli PAS diterima Allah'.

"Umno kalah, tapi tidak hancur sebagaimana doa dan kehendak ahli dan penyokong PAS. Itu kehendak Allah. Kalah, tetapi tidak hancur. Umno masih hidup di parlimen dan di mana-mana. 

"Ada yang menyoal, mengapa tidak terus berdoa agar selepas kalah, Umno terus hancur dan tak hidup-hidup lagi?

"Saya berkata, dulu kita berdoa agar Umno kalah dan hancur kerana Umno zalim. Zalim dengan kuasa di tangan. Kini dengan kekalahan dan tanpa kuasa, kezaliman baru sudah tiada daripada Umno. Ada Umno zalim hari ini? Tak ada. Yang ada adalah bebanan kezaliman lampau," katanya.

Muktamar Tahunan PAS Ke-65 yang berakhir semalam, sebulat suara meluluskan usul memeterai kerjasama dan perjanjian politik dengan Umno.

Hubungan itu dimeterai berlandaskan Fasal 6 Perkara (6) Perlembagaan PAS yang menyatakan parti itu berupaya menyertai dan bekerjasama dengan badan, persatuan atau pertubuhan.

Ia bagaimanapun tertakluk kepada asas bahawa hubungan itu mustahak dan sesuai, selain tidak berlawanan dengan tujuan PAS serta tidak bercanggah  dengan undang-undang negara.

PAS sepanjang sejarahnya pernah menjalinkan kerjasama dengan pelbagai parti politik termasuk menjadi sebahagian parti komponen Barisan Nasional sebelum disingkirkan pada 1977.

Kali terakhir PAS mengadakan kerjasama politik ialah bersama DAP pada 2008 sebelum diakhiri pada 11 Julai 2015 selepas tidak sehaluan.

Sementara itu Nik Mohamad Abduh berkata, Umno datang kepada PAS dan meminta maaf atas kesalahan lampau dan ia dibuat secara terbuka.

Katanya, ada yang bimbang PAS sekali lagi akan ditipu oleh Umno selepas beroleh kuasa.

"Saya berkata, itu telahan, sangkaan dan amaran terhadap bahaya menanti. Sangkaan dan amaran tidak boleh menghentikan langkah dan perjalanan.

"Jalan terus dan berhati-hatilah. Bahkan, bergabunglah dengan janji Allah dengan bertawakal kepada-Nya. Tiada sebarang tipu daya kecuali kejahatannya akan kembali kepada tuannya," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen