Majlis Pimpinan Pusat PKR hari ini merujuk kepada dokumen sebelum PRU14 yang menggariskan Dr Mahathir Mohamad akan menjadi calon perdana menteri PH dan Anwar Ibrahim sebagai penggantinya.
"PKR berpuas hati dengan rencana transisi perdana menteri seperti mana yang termaktub di dalam dokumen Muafakat Pakatan Harapan yang disepakati semua pimpinan utama dan diumum pada 7 Januari 2018 di Konvensyen PH di IDCC, Selangor.
"Ketetapan ini juga dipertahankan Dr Mahtahir Mohamad dan Majlis Presiden Pakatan Harapan sebelum ini," kata kepimpinan parti itu hari ini.
Kenyataan ini dikeluarkan selepas mesyuarat biro politik PKR tengahari ini.
Sebelum ini, Anggota Majlis Tertinggi Bersatu Rais Yatim dipetik wawancara bersama The Star mendakwa tiada perjanjian "hitam putih" untuk presiden PKR menggantikan Mahathir sebagai perdana menteri.
Rais berkata tiada dokumen konkrit yang menunjukkan janji Anwar akan mewarisi jawatan perdana menteri selepas dua tahun.
“Saya tidak nampak terdapat perjanjian itu. Ini politik, tiada perjanjian kecuali ada hitam putih.
“Walaupun PH bercakap mengenai hal ini, namun tiada yang konkrit Anwar akan menjadi perdana menteri selepas dua tahun," katanya, petik The Star.
Bagaimanapun, dokumen Muafakat PH dilihat penting kerana ia membuka laluan kepada Mahathir untuk menjadi calon gabungan itu walaupun terdapat tentangan daripada beberapa pemimpin kanan parti.
Dokumen itu turut menggariskan jika PH menang dan Dr Mahathir menjadi perdana menteri, beliau akan memohon untuk mendapatkan pengampunan diraja untuk Anwar dan beliau akan menggantikan Mahathir sebagai perdana menteri kelapan.
Tiada tempoh waktu yang ditetapkan mengenai peralihan kuasa itu di dalam dokumen tersebut.