malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Wajibkan belajar jawi, Mandarin dan Tamil di sekolah'
ADS

MUKTAMAR PAS | Pemuda PAS menyarankan agar subjek tulisan jawi diwajibkan dipelajari di sekolah-sekolah kebangsaan, selain bahasa Mandarin dan Tamil.

"Pemuda ingin mencadangkan, kita wajibkan kembali subjek pendidikan jawi di sekolah-sekolah kebangsaan.

"Kedua, kita wajibkan juga subjek bahasa Mandarin dan bahasa Tamil di sekolah kebangsaan. Jadikan subjek wajib," kata ketuanya Khairil Nizam Khirudin.

Menurutnya cadangan itu dikemukakan kerana Pemuda PAS tahu salah satu faktor yang membolehkan berlaku integrasi di peringkat nasional adalah melalui penguasaan bahasa.

Semalam, wakil Muslimat PAS menyeru Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik menamatkan sistem pendidikan vernakular di negara ini.

Ketika berucap membahaskan ucapan dasar presiden sempena muktamar ke-65, Salamiah Md Nor berkata beliau melihat sistem yang diamalkan sekarang tidak membawa kepada perpaduan antara rakyat di negara ini.

Menurut naib ketua Muslimat PAS itu, Maszlee dilihat tidak melihat lebih jauh sistem pendidikan negara.

PAS wajar belajar

Justeru kata Salamiah, Muslimat PAS menyeru agar sistem pendidikan negara mengutamakan aspek takwa dan menjadikan al-Quran sebagai dasar.

Bagaimanapun Naib Presiden PAS, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menegaskan apa yang disarankan itu bukanlah dasar parti.

Pada sidang medianya selepas itu, Ahmad Samsuri menjelaskan, apa juga saranan dinyatakan dalam muktamar bukanlah dasar rasmi kepada parti.

Kata menteri besar Terengganu itu, selagi ia tidak dibawa sebagai dasar kerajaan ia masih kekal sebagai pandangan biasa.

Salamiah Md Nor

Dalam perkembangan sama Timbalan Pengerusi Biro Pendidikan Pusat PAS, Dr Halimah Ali hari ini berkata, PAS wajar mencontohi kejayaan sekolah vernakular di negara ini.

Katanya, kaum minoriti Malaysia wajar diberi penghargaan kerana gigih memperjuangkan sistem sekolah vernakular sehingga turut menarik minat orang Melayu dan Islam untuk menghantar anak mereka ke situ.

Sementara itu, Khairil Nizam berkata pihaknya melihat bagaimana rakan-rakan dalam kalangan bukan Islam berjuang mati-matian untuk menyediakan sekolah vernakular.

Justeru katanya, jika boleh PAS perlu menyediakan formula untuk mengekalkan perpaduan kaum dengan menghormati keluhuran perlembagaan di samping mengurangkan pengangguran.

"Kita lihat rakan-rakan kita di peringkat bukan Muslim berjuang bermati-matian untuk menyediakan sekolah vernakular. Kalau kita boleh sediakan formula ini (subjek bahasa) maka kita akan dapat mengekalkan perpaduan kaum dengan menghormati keluhuran perlembagaan.

"Selain itu kita juga akan dapat kurangkan masalah pengangguran. Ramai mahasiswa yang tidak ada kerja, maka apabila kita perkenalkan subjek ini, maka ramai yang boleh direkrut sebagai guru di sekolah.

"Ini sekali gus boleh sekali gus mengurangkan peratusan pengangguran di negara ini," katanya.


N Faizal Ghazali, M Fakhrull Halim, Lu Wei Hoong, Mastura Malak dan Alyaa Alhadjri menyumbang kepada laporan ini.

Lihat Komen