malaysiakini logo
story-image
ADS

MUKTAMAR PAS | PAS hari ini menawarkan diri untuk membantu menyelesaikan kemelut video lucah pasangan sejenis yang dikaitkan dengan salah seorang pemimpin kanan kerajaan.

Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata jika dipersetujui masalah berkenaan boleh diselesaikan segera.

"PAS boleh tolong, dalam masa seminggu kita boleh selesai," katanya kepada media petang tadi.

Terdahulu Abdul Hadi memberikan pandangannya mengenai isu video lucah yang tular minggu lalu. Ketua Pemuda PKR Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz mengaku salah seorang lelaki dalam klip tersebut adalah dirinya.

Seorang lagi lelaki yang menjadi pasangannya di atas ranjang didakwa sebagai Timbalan Presiden PKR merangkap Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Azmin Ali.

Azmin menafikan dengan tegas dakwaan tersebut.

Kemunculan video berkenaan juga lebih menghangatkan lagi persaingan di antara dua kem dalam PKR, dengan salah satu disebut-sebut sebagai diketuai Azmin, manakala di sisi lain dikepalai presidennya, Anwar Ibrahim.

Kata Abdul Hadi bagi menyelesaikan siasatan isu tersebut dengan tuntas PAS mencadangkan polis mengesan siapa yang mengedarkan klip video tersebut, bukannya pelakon.

"Yang penting, cari penerbit. (Kalau) pelakon, orang mati (pun) boleh jadi pelakon, tapi penerbit yang penting," katanya. 


N Faizal Ghazali, M Fakhrull Halim, Lu Wei Hoong, Mastura Malak dan Alyaa Alhadjri menyumbang kepada laporan ini.

Lihat Komen