malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Menteri perjelas langkah ambil alih 4 konsesi lebuh raya tol
ADS

ULASAN | Pada 23 Februari 2019, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad telah mengumumkan cadangan untuk mengambil alih empat konsesi lebuh raya bertol di mana syarikat Gamuda Berhad (Gamuda) berkepentingan.

Empat lebuh raya yang terbabit ialah Lebuh raya Damansara Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (Sprint), Lebuh raya Shah Alam (Kesas) dan Terowong Smart (Smart).

Hasil daripada usaha rundingan dengan pihak Gamuda, sukacita dimaklumkan bahawa Kementerian Kewangan telah memberikan tawaran rasmi pada 21 Jun 2019 kepada keempat-empat syarikat konsesi tersebut dengan harga ‘enterprise value’ seperti berikut; iaitu harga tawaran bagi LDP sebanyak RM2,470 juta, untuk Sprint RM1,984 juta, Kesas RM1,377 juta dan Smart dengan harga RM369 juta, dengan jumlah keseluruhan RM6,200 juta.

Kejayaan tawaran ini adalah tertakluk kepada ketekunan wajar (due diligence), sokongan pemegang saham dan pemiutang syarikat konsesi yang mencukupi serta kelulusan jemaah menteri yang muktamad.

Jika proses pengambilalihan lebuh raya bertol ini berjalan secara lancar, kerajaan, melalui sebuah syarikat tujuan khas (special purpose vehicle – SPV) anak syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD), akan mengambil alih lebuh raya-lebuh raya tersebut pada 31 Disember 2019.

Pengambilalihan 4 lebuh raya bertol ini merupakan langkah pertama untuk mengurangkan beban pengguna lebuh raya dan merealisasikan janji Pakatan Harapan.

Penjimatan RM180 juta setahun kepada pengguna

Dengan sistem caj kesesakan baharu seperti yang telah diumumkan sebelum ini, pengguna empat lebuh raya ini akan menikmati penjimatan sehingga RM180 juta setahun. 

Penjimatan ini bermakna pendapatan boleh guna isi rumah rakyat Malaysia akan bertambah dengan jumlah yang sama.

Caj kesesakan adalah caj boleh ubah yang bergantung kepada masa penggunaan. 

Kerajaan secara prinsipnya akan memberikan diskaun sehingga 30 peratus pada waktu luar puncak dan kadar percuma pada waktu bukan puncak.

Di samping itu, bagi tidak membebankan rakyat, kerajaan akan mengekalkan caj kesesakan maksimum pada waktu puncak pada kadar tol sedia ada.

Struktur akhir caj kesesakan akan dikaji secara terperinci dan diperhalusi sebelum ia dilaksanakan pada 1 Januari 2020 kelak.

Penjimatan pampasan RM5.3 bilion kepada pihak konsesi

Di samping itu, pengambilalihan keempat-empat lebuh raya ini akan secara langsung menjimatkan pembayar cukai sekurang-kurangnya RM5.3 bilion dalam bentuk bayaran pampasan kepada syarikat-syarikat konsesi untuk membekukan kadar tol di lebuh raya berkenaan sehingga akhir hayat konsesi.

Pampasan ini tidak perlu lagi dibayar selepas lebuh raya-lebuh raya ini diambil alih oleh kerajaan.

Ini bermaksud bahawa kerajaan akan mampu memperuntukkan perbelanjaan tambahan melebihi RM5.3 bilion untuk membantu rakyat seluruh Malaysia pada tahun-tahun yang akan datang. 

Ertinya, bukan sahaja pengguna lebuh raya bertol akan menerima penjimatan besar dalam langkah ini, rakyat seluruh negara juga akan menikmatinya.

Fakta-fakta ini dengan secara langsung membuktikan bahawa model konsesi lebuh raya bertol di bawah kerajaan Barisan Nasional hanya menguntungkan pihak konsesi dan tidak mengutamakan rakyat jelata.

Tiada beban kewangan kepada kerajaan

Pihak kerajaan telah berunding dengan pihak konsesi dengan bersungguh-sungguh untuk membuat nilai tawaran pengambilalihan yang paling wajar supaya ia bukan sahaja dapat memaksimumkan pulangan kepada rakyat, tetapi juga tidak akan mengakibatkan sebarang beban kewangan kepada kerajaan.

Pihak SPV akan membiayai harga tawaran sebanyak RM6.2 bilion dengan penerbitan bon. 

Kutipan caj kesesakan adalah mencukupi untuk membiayai bayaran balik hutang, segala kos operasi serta penyenggaraan lebuh raya tanpa memerlukan peruntukan daripada Kementerian Kewangan.

Dengan kata lain, kos pengambilalihan tersebut akan dibayar balik dengan sendirinya daripada kutipan caj kesesakan tanpa melibatkan sebarang perbelanjaan kerajaan.

Langkah pertama

Untuk makluman semua, tanpa mengambil kira kumpulan Plus, keempat-empat lebuh raya ini menguasai 48 peratus daripada jumlah pendapatan lebuh raya-lebuh raya bertol di bandar.

Ini meliputi sebahagian besar daripada lebuh raya dalam bandar dan menunjukkan kesungguhan dan komitmen kerajaan dalam langkah pertama memenuhi manifesto pilihan raya kami.

Sekiranya model pengambilalihan ini berjaya, kerajaan akan terus menjadikannya sebagai asas untuk pengambilalihan konsesi lebuh raya bertol lain, termasuk lebuh raya antara bandar, pada masa hadapan.

Kesimpulannya, tawaran pengambilalihan lebuh raya ini adalah penyelesaian “win-win-win” untuk semua pihak yang terlibat:

• Kerajaan dan pembayar cukai akan jimat RM5.3 bilion dalam bentuk pembayaran pampasan kepada syarikat-syarikat konsesi akibat pembekuan kadar tol;

• Pengguna lebuh raya akan menikmati penjimatan sehingga RM180 juta setahun dan juga pengurangan kesesakan lalu lintas pada waktu puncak.

• Sebarang lebihan kutipan caj kesesakan akan disalurkan kepada pembangunan dan penyenggaraan sistem pengangkutan awam Malaysia.


Tulisan ini merupakan kenyataan daripada Kementerian Kewangan dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

LIM GUAN ENG ialah Menteri Kewangan. 

Lihat Komen