malaysiakini logo
story-image
ADS

MUKTAMAR PAS | Tampil sebagai pembahas kedua, perwakilan PAS Selangor Roslan Shahir Mohd Shahir sempat menggunakan sedikit ruang yang ada untuk menyindir penguasaan bahasa Inggeris Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu.

Ketika memetik kata-kata bekas perdana menteri Singapura, bekas setiausaha politik presiden PAS itu menyatakan ucapan bahasa Inggerisnya lebih baik berbanding Mohamad.

Mengulas mengenai keadaan didakwanya sebagai dominasi DAP dalam kerajaan persekutuan, Roslan Shahir berkata , buat pertama kali "kuasa jelmaan parti Lee Kuan Yew" berkuasa di Malaysia.

"Lee Kuan Yew pernah berikrar dalam parlimen Malaysia pada tanggal 27 Mei 1965.

"Kata beliau: We can't agree anything but a Malaysian Malaysia, we are prepared to take - in accordance to the rule - at least five, 10, 15 years but the idea we represent must come truth.

"Lebih baik daripada menteri pertahanan ucapan (bahasa Inggeris) saya," katanya disambut dengan ketawa perwakilan dan pemerhati yang berada dalam Stadium Tertutup Sukpa di Indera Mahkota, Kuanta, hari ini.

Persidangan tahunan PAS itu memasuki hari kedua hari ini dan dimulakan dengan sesi perbahasan ucapan dasar Abdul Hadi Awang.

Kekalkan perlembagaan sekular

Sindiran Roslan Shahir itu dipercayai merujuk kepada ucapan Mohamad - atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu - ketika presiden Amanah terbabit berucap dalam bahasa Inggeris di Sidang Kemuncak Keselamatan Asia ke-18 di Singapura, baru-baru ini.

Sementara itu Roslan Shahir berkata, Malaysia akan menjadi "Singapura kedua" dengan adanya "dominasi DAP" dalam kerajaan PH.

"Ancaman besar kalau kita lalai dan lupa, habis binasa maruah, serta negara kita tergadai. Tak mustahil kita jadi Singapura kedua," katanya yang juga bekas setiausaha politik Abdul Hadi.

Menurut Roslan Shahir, agenda DAP ini mengesampingkan hak istimewa orang Melayu dan menghapuskan segala kontrak sosial yang dibina oleh pejuang kemerdekaan selain menjadikan semua kaum dalam negara setaraf, khususnya orang Melayu.

"Malaysian Malaysia adalah antitesis kepada Malay Malaysia. Kemudian agenda DAP adalah memisahkan agama daripada pentadbiran kerajaan.

"Bagi mereka janji perjuangan mereka adalah kekalkan perlembagaan persekutuan sebagai perlembagaan sekular," jelasnya.


N Faizal Ghazali, M Fakhrull Halim, Lu Wei Hoong dan Alyaa Alhadjri menyumbang kepada laporan ini.

Lihat Komen