malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
PAS nafi ekstrem, malah tak pernah khianati orang lain
ADS

MUKTAMAR PAS | Dituduh sebagai pertubuhan yang semakin radikal, ekstrem dan keras, PAS sebenarnya tidak seperti yang digambarkan sesetengah pihak kata pemimpin ulama parti itu.

Kata Ketua Ulama Pusat PAS Dr Nik Zawawi Salleh pada hakikatnya PAS ialah satu-satunya parti paling bertoleransi dan banyak bergaul dengan orang lain yang ada dalam negara ini

“Dalam sejarah PAS bersama parti lain, kita tak pernah mengkhianati orang lain,” katanya kepada pemberita di Indera Mahkota, Kuantan semalam.

Nik Zawawi ditemui media selepas persidangan hari pertama Muktamar PAS ke-65 ditangguhkan sehingga pagi ini.

Anggota parlimen Pasir Puteh itu baru saja dilantik menjadi ketua Ulama PAS kelmarin bagi menggantikan penyandang, Dr Mahfodz Mohamed yang mengundur diri.

Sebelum ini Nik Zawawi ialah timbalan kepada Mahfodz.

Terdahulu Nik Zawawi ditanya mengenai kaedah ulama PAS menghadapi dakwaan orang ramai yang melihat parti berkenaan semakin keras dan ekstrem.

Sesetengah pihak malah mendakwa PAS kini semakin ketara membawa fahaman Khawarij berdasarkan kenyataan sesetengah pemimpin dan anggotanya terhadap kumpulan yang tidak sealiran dengan mereka.

Antaranya kenyataan Yang Dipertua PAS Padang Serai, Shaharuddin Ibrahim pada 2016 yang mendakwa individu yang tidak menyokong usul meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 di Dewan Rakyat boleh "jatuh iman" mereka.

Sekiranya meninggal dunia, orang terbabit boleh disemadikan di jirat Cina.


Baca Pensyarah terkejut MP PAS nak sekeh kepala mufti


Untuk rekod sebelum membuat kenyataan itu Shaharuddin juga pernah mendakwa Pulau Pinang mengharamkan azan dikumandangkan di negeri tersebut. Bagaimanapun kenyataan itu dibuktikan tidak benar dan dia sudah meminta maaf.

Semasa Muktamar Pemuda PAS berlangsung di Gambang pada 19 Jun, Pencetus Ummah (PU) Merico bersajak dengan menggambarkan kekalahan kumpulan moderat dalam pemilihan PAS pada 2015 sebagai kejayaan parti itu menapis "darah-darah munafik."

Kata Nik Zawawi tuduhan yang dilemparkan kepada PAS itu dianggap perkara biasa kerana Nabi Muhammad SAW sendiri - walaupun maksum - juga pernah dilabel sebagai pelampau.

PU Merico

Pada masa sama, kata ahli korporat terbabit, tuduhan seperti itu menunjukkan PAS sedang berada di kemuncak kekuatannya.

“Kalau PAS tak kuat, orang tak serang. Apabila kita kuat (baru) orang serang. Jadi dalam waktu yang sama kadang-kadang kita seronok kalau orang serang.

"Politik ini, (bila) orang serang kita kadang-kadang kita lebih untung. Sebab itu PAS tak ada masalah orang nak serang," ulasnya lagi.

Beliau juga menjadikan dirinya sebagai salah satu bukti bahawa PAS bertoleransi dengan semua orang, termasuk dalam kalangan bukan Islam.

Sebagai anggota parlimen, katanya, sebahagian besar peruntukan yang diterima diserahkan kepada masyarakat bukan Islam serta bukan Melayu.

“Peruntukan yang saya berikan kepada orang Cina, Siam dan India dalam kawasan parlimen saya lebih banyak daripada (jumlah) saya bagi kepada orang Melayu Islam.

“Sebab apa? Sebab hubungan kita dengan masyarakat bukan Islam ni kita kena jaga.

“Alhamdulillah, orang nak tuduh - itu terpulang kepada dia, tapi saya nak bagi jaminan, perjuangan PAS berasakan Islam, dan Islam satu-satunya agama yang menyelamatkan agama-agama lain,” katanya lagi.


N Faizal Ghazali, M Fakhrull Halim, Lu Wei Hoong dan Alyaa Alhadjri menyumbang kepada laporan ini.

Lihat Komen